Khamis, 3 Januari 2019 | 12:56pm
AZMAN Mahmood. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Peniaga masih degil letak meja di laluan pejalan kaki

KUALA LUMPUR: Segelintir pengusaha restoran dan pemilik premis masih berdegil dengan meletakkan barang dagangan serta peralatan berniaga mereka di luar premis sehingga menghalang laluan pejalan kaki.

Bertindak atas maklumat dan risikan yang dilakukan, sepasukan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke beberapa lokasi di ibu kota yang dikenalpasti sering melakukan kesalahan berkenaan, pagi semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood, berkata operasi bermula seawal jam 7 pagi di Jalan Jejaka 7, Jalan Jejaka 9, Jalan Mahkota, Jalan Sungai Besi, Lorong Haji Taib dan Jalan Raja Laut.

“Ketika operasi dijalankan, kami mendapati terdapat restoran yang meletakkan kerusi dan meja di laluan pejalan kaki yang mana ia menghalang laluan pejalan kaki selain boleh membahayakan keselamatan pelanggan.

“Susulan itu, pihak kami mengeluarkan 15 notis mengikut Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; satu notis mengikut Seksyen 47(1)a akta sama serta tiga notis mengikut Kaedah 12(4) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita kerusi dan meja di empat premis kerana kesalahan halangan di tempat awam dan kesalahan mengikut UUK 3 (1) Undang-Undang Perlesenan dan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Azman berkata, pada sebelah petang pula, pihaknya menjalankan pemeriksaan di Lorong Haji Taib, Jalan Silang dan Tunku Abdul Rahman berdekatan kompleks beli-belah Sogo.

“Ketika pemeriksaan ini kami mendapati kebanyakan warga asing membuka gerai menjual ubat-ubatan, aksesori dan barang mainan secara haram di laluan pejalan kaki.

“Hasil pemeriksaan pihak kami mengambil tindakan sita terhadap 11 peniaga dan premis yang didapati melakukan kesalahan mengikut UUK 3 (1) Undang-Undang Perlesenan dan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016,” katanya.

Berita Harian X