Rabu, 2 Januari 2019 | 5:29pm
ADLY Zahari (kiri) ketika melakukan lawatan dan tinjauan di beberapa pusat pelancongan di Melaka sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2019 di Zoo Melaka, Ayer Keroh. - NSTP/Noor Azurin Mohd Sharif
ADLY Zahari (kiri) ketika melakukan lawatan dan tinjauan di beberapa pusat pelancongan di Melaka sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2019 di Zoo Melaka, Ayer Keroh. - NSTP/Noor Azurin Mohd Sharif

Projek FDI China masih diteruskan - KM Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri berpandangan terbuka untuk meneruskan projek pelaburan langsung asing (FDI) bersama China seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) pihaknya juga komited terhadap semua projek yang sudah dilaksanakan di negeri ini, selain turut mengambil kira kepentingannya kepada rakyat secara keseluruhan.

Katanya, pendekatan FDI kerajaan negeri dengan China masih terbuka seperti projek Melaka Gateway, Xinyi Smart Energy mahupun Yong Tai Berhad, malah sedang berusaha membawa bentuk pelaburan baharu dari negara ekonomi utama dunia itu ke Melaka.

“Sekarang, kerajaan negeri sedang memberi ruang kepada mereka (pelabur China) untuk teruskan pelaburan asalkan dapat memberi manfaat kepada rakyat sekitar, contohnya dari segi pekerjaan.

“Kerajaan negeri ada pandangan yang jelas. Mereka (pelabur) boleh datang di kawasan industri kita, cuma ia perlu ada milikan tempatan yang mana ia harus diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Terdahulu, Adly dan rombongannya mengadakan lawatan ke beberapa lokasi pelancongan terkemuka di negeri ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2019 (#visitmelaka2019).

Mengulas lanjut, Adly berkata, sebagai contoh, projek Melaka Gateway adalah pembangunan paling mapan untuk menarik pelabur dari Asia dan ia masih diteruskan.

“Ia dilihat sebagai penggerak ke dasar One Belt One Road (OBOR) yang dilihat bakal memberi manfaat kepada dunia.

“Projek ini sedang berjalan, cuma isunya adalah sedikit mengenai pelabuhan dan terminal, itu sahaja. Apa yang penting, ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Melaka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menambah baik produk pelancongan negeri yang ‘tersembunyi’ dan kurang diketengahkan seperti rumah Munsyi Abdullah.

Katanya, pihaknya menerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), akan menilai kembali pusat pelancongan yang dilihat suram itu untuk kembali menjadi tarikan bersejarah di Melaka.

“Kita harus tingkatkan maklumat ini. Saya rasa ramai masyarakat tahu mengenai Munsyi Abdullah, malah kita belajar sejarahnya tetapi masih ramai tidak tahu kewujudannya yang kian tersorok di Jonker Street.

“Ini aspek yang harus diberi keutamaan sebab pengunjung ke Melaka mempunyai minat yang berbeza dan pelbagai,” katanya.

Berita Harian X