Selasa, 1 Januari 2019 | 11:49am
Larangan merokok di semua premis makanan berkuat kuasa hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Majoriti perokok akur larangan

JOHOR BAHRU: Larangan merokok di semua premis makanan yang berkuat kuasa hari ini diterima majoriti perokok yang menyifatkannya sebagai satu langkah menjadikan mereka lebih berdisiplin.

Tinjauan di beberapa gerai makan sekitar daerah ini mendapati majoriti perokok berada di luar kawasan kedai makan untuk merokok.

Bagaimanapun, ada juga beberapa perokok yang dilihat masih cuba merokok di meja makan mereka tanpa menghiraukan nasihat pemilik kedai.

Seorang perokok, Raja Jasni Raja Atan, 42, bersetuju dengan arahan larangan merokok di premis makanan dan berpuas hati apabila pengunjung warung di mana beliau bersarapan pagi ini menghormati peraturan yang ditetapkan.

“Saya lihat baguslah pagi ini arahan larangan merokok di premis makanan dipatuhi dan saya berpuas hati, memandangkan saya bukan perokok tegar, sekali sekala sahaja saya merokok.

“Mungkin dengan adanya peraturan seperti ini, saya dan perokok lain akan berhenti merokok terus,” katanya ketika ditemui di sebuah warung sarapan pagi di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini, hari ini.

Bagi Wan Ahmad Fairus Mat Noor, 34, larangan itu tidak menjadi masalah kerana dia selama ini merokok jauh dari gerai makan kerana tidak mahu orang ramai termasuk anak-anak kecil dan orang tua menghidu asap rokok.

“Saya sebelum ini memang akan pergi jauh sedikit daripada orang lain yang tidak merokok. Saya harap perokok lain juga akan ikut dan patuhi larangan ini,” katanya.

Sementara itu, pemilik gerai makan, Mohd Helmi Wallat, 50, berkata dia akan melarang pelanggannya daripada merokok dalam premis kedai itu.

“Hari ini saya ada nampak pelanggan saya hisap rokok tetapi saya minta dia duduk di meja yang saya sediakan tiga meter dari kedai. Kalau ada yang masih ingkar, saya akan cuba nasihat cara baik untuk kebaikan semua.

“Saya juga beri kerusi pada perokok di luar kedai, supaya mereka boleh duduk sebentar sementara merokok, asalkan mereka tidak merokok di dalam kedai,” katanya sambil menambah peraturan itu tidak menjejaskan operasi perniagaannya.

Berita Harian X