Jumaat, 28 Disember 2018 | 11:38am

15% bekalan elektrik Pulau Tioman dijana daripada tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 peratus daripada bekalan elektrik di Pulau Tioman akan dijana daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) pada tahun depan.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam satu kenyataan hari ini, berkata lokasi popular bagi selam skuba dan snorkeling itu akan menjadi pulau pertama di Semenanjung yang akan dikuasakan menerusi sumber solar dan hidro mini.

“Syarikat utiliti nasional sedang memulihkan stesen hidro mininya di Sungai Mentawak dan memasang panel solar di bumbung jeti pulau itu dan pejabat TNB.

“Setakat November 2018 kerja-kerja bagi stesen hidro mini telah siap 87 peratus, manakala panel solar, 92 peratus,” kata TNB.

Projek itu, yang dijalankan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Energy Services Sdn Bhd, adalah untuk meningkatkan bekalan elektrik bagi pulau tersebut dengan dua projek RE dengan gabungan kapasiti 755 kW.

Ia juga dilaksanakan untuk mengurangkan kos operasi diesel dan menunjukkan komitmen TNB ke arah menjadikan Tioman pulau yang lebih bersih dan hijau bagi penduduknya dan pelancong. – BERNAMA

Berita Harian X