Khamis, 27 Disember 2018 | 4:38pm
Adly berucap pada Majlis Temuduga Terbuka Xinyi Energy Smart bagi pengambilan pekerja tempatan di Taman Perindustrian Elkay, Jasin. - NSTP/Khairunisah Lokman
Adly berucap pada Majlis Temuduga Terbuka Xinyi Energy Smart bagi pengambilan pekerja tempatan di Taman Perindustrian Elkay, Jasin. - NSTP/Khairunisah Lokman

Utamakan rakyat tempatan dalam sektor pekerjaan - KM

JASIN: Kerajaan Melaka mahu sektor swasta, termasuk pelabur asing di negeri ini mengutamakan penduduk tempatan, terutama lepasan universiti untuk mendapatkan pekerjaan.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata ini kerana selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, ia juga dapat membantu mempercepatkan proses pengambilan pekerja, sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerja di sektor kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memuji langkah syarikat pengeluar kaca terbesar China, Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd (Xinyi) yang bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada 350 graduan universiti itu apabila menamatkan pengajian.

“Tindakan proaktif diambil pihak pengurusan Xinyi dan UTeM ini sangat baik dan bijak serta boleh dijadikan contoh kepada pelabur dan pengusaha kilang lain yang memerlukan ramai pekerja,” katanya selepas merasmikan Program Temu duga Pekerja Tempatan Syarikat Xinyi Dengan Kerjasama UTeM di Pusat Industri Elkay, Merlimau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar; Timbalannya, Dr Wong Fort Pin; Pengarah Urusan Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd, Datuk Liu Xiao Rong dan Timbalan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Goh Ong Sing.

Temu duga terbuka berlangsung selama sebulan bermula hari ini itu bakal menyediakan lebih 350 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sehingga kini, syarikat Xinyi yang terletak di kawasan seluas 75.8 hektar di Lipat Kajang mempunyai seramai kira-kira 1,200 pekerja sejak beroperasi di negeri ini pada 2015.

Adly berkata, ketika ini syarikat berkenaan berupaya mengeluarkan produk seperti ‘float glass’ dengan kuantiti 3,200 tan sehari dan ‘solar glass’ sebanyak 1,900 tan sehari.

“Sehingga September lalu, nilai pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah RM1 bilion merangkumi tujuh jenis pelaburan iaitu pelaburan dalam sektor perubatan, makanan, elektronik, petroleum, pengangkutan, pembuatan logam dan mineral bukan metalik,” katanya.

Berita Harian X