Sabtu, 22 Disember 2018 | 3:37pm
Fakru Radzi (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Kamal (kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Persediaan Persekolahan sempena Kayuhan Amal PESCA PREC 2018 di Dewan Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Kamal (kiri) melepaskan peserta berbasikal pada Majlis Penyerahan Sumbangan Persediaan Persekolahan sempena Kayuhan Amal PESCA PREC 2018 di Dewan Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

PREC sumbang RM26,000 untuk komuniti Orang Asli Bukit Bandaraya

SHAH ALAM: Komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya, di sini, tidak dilupakan apabila mereka hari ini menerima sumbangan sebanyak RM26,000 daripada PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani, berkata sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada peruntukan zakat tahunan syarikat berkenaan.

“Sebanyak RM22,000 diberikan secara tunai kepada penduduk manakala RM4,000 dalam bentuk kelengkapan sekolah untuk anak-anak Orang Asli seawal usia empat tahun, yang bersekolah rendah serta menengah.

“Seramai 200 penduduk daripada 55 keluarga akan menerima kira-kira RM400 untuk satu keluarga khusus untuk perbelanjaan harian mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Persediaan Persekolahan Sempena Kayuhan Amal Kelab Sukan dan Rekreasi PREC (PESCA) kepada Komuniti Orang Asli Bukit Bandaraya, hari ini.

Terdahulu, Fakru Radzi antara 30 peserta yang menyertai kayuhan amal anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi PREC (PESCA).

Beliau berkata, mereka berkonvoi sejauh enam kilometer dari SACC Walk (berdekatan Pusat Beli-Belah SACC) ke dewan komuniti Orang Asli itu.

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Kamal Bapak, 53, melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan oleh PREC.

“Alhamdulillah, saya mewakili penduduk amat berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan hari ini kerana kami bukan sahaja mendapat bantuan kelengkapan sekolah anak-anak tetapi turut diberikan wang perbelanjaan.

“Bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban ibu bapa anak-anak Orang Asli dalam menyediakan kelengkapan sekolah yang akan bermula awal bulan depan,” katanya.

Berita Harian X