Sabtu, 22 Disember 2018 | 3:07pm
Program gunting rambut amal anjuran Yayasan Pahang yang diadakan bagi meringankan ibu bapa dan penjaga berpendapatan rendah. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Program gunting rambut amal anjuran Yayasan Pahang yang diadakan bagi meringankan ibu bapa dan penjaga berpendapatan rendah. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

300 kanak-kanak gunting rambut percuma

KUANTAN: Seramai 300 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai program gunting rambut amal anjuran Yayasan Pahang yang diadakan bagi meringankan ibu bapa dan penjaga berpendapatan rendah.

Kanak-kanak berkenaan adalah dari beberapa kampung dan penempatan di daerah ini selain anak yatim yang menghuni rumah jagaan.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada GiatMara Kuantan dan Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang (UKHWAH) yang dirasmikan Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Mahmud berkata, tujuan syarikat kerajaan negeri itu mengadakan program berkenaan adalah untuk membantu serta meringankan beban keluarga berpendapatan rendah terutama menjelang sesi persekolahan 2019.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menggunting rambut, sekarang upah gunting rambut bagi kanak-kanak antara RM5 hingga RM 8 seorang.

“Kita akan menjadikan program gunting rambut amal sebagai acara tahunan dalam usaha meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak bersekolah,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini, hari ini.

Sementara itu, peserta, Tengku Putra Hasrul Hisham Tengku Badrul Hisham, 11 berkata, program gunting rambut secara percuma yang diadakan memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik untuk menyertainya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pahang yang sudi menyediakan perkhidmatan mengunting rambut secara percuma ini,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang itu.

Berita Harian X