Selasa, 18 Disember 2018 | 3:51pm
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli

PAS desak Waytha Moorthy letak jawatan

KOTA BHARU: PAS mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meletak jawatan susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu yang mengorbankan seorang anggota bomba.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS menganggap menteri itu bukan saja gagal mengawal, malah memburukkan lagi keadaan.

Katanya, PAS memandang berat kejadian rusuhan itu yang turut menjadi titik hitam dalam konteks ketenteraman dan perpaduan negara apabila membabitkan tindakan perusuh yang menyerang anggota keselamatan dan merosakkan jentera dan kenderaan mereka.

“Dalam hal ini, PAS menuntut pemimpin kerajaan yang terbabit secara langsung mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kejadian serta kematian anggota bomba yang terbabit.

“Beliau (Waytha Moorthy) didapati bersikap tidak profesional serta berbohong dengan menyalahkan pihak berkuasa terutama polis yang dikatakan gagal mengawal keadaan.

“Apatah lagi, segala fakta diberikan oleh beliau mengenai tindakan polis bercanggah dengan keterangan fakta yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri ketika menjelaskan tragedi itu di Dewan Rakyat pada 29 November lalu.

“Sehubungan itu PAS menuntut dengan tegas Waytha Moorthy mengambil sepenuhnya tanggungjawab ‘sosial dan moral’ dengan meletakkan jawatan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, PAS memohon kerajaan menggantikan Waytha Moorthy dengan pemimpin dari kaum India yang lebih berwibawa.

“Langkah ini untuk mewujudkan perpaduan dan semangat setia kawan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil berkenaan.

Beliau dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby Subang Jaya, pada jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN keesokan malamnya.

Allahyarham dilaporkan merancang untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi, pada 22 Disember ini.

Berita Harian X