Ahad, 16 Disember 2018 | 2:57pm
Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS) Abdul Basith Hamid (tujuh, kiri) bergambar bersama penerima sumbangan zakat pada Program 'Zakat On Wheels- Mendekati Masyarakat Terutamanya Gologan Muda' anjuran LZS di Uptown Seksyen 24 Shah Alam malam tadi. - Foto BERNAMA

LZS peruntukkan bantuan RM10.1 juta bagi M40 tahun depan

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sejumlah RM10.1 juta bantuan persekolahan dan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi anak daripada golongan berpendapatan pertengahan (M40), tahun depan.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM7 juta adalah bagi bantuan persekolahan, manakala RM3.1 juta lagi melanjutkan pelajaran ke IPT.

“Alhamdulillah, tahun ini, LZS membuka bantuan untuk asnaf fisabilillah. Kita memfokus kepada golongan M40 berpendapatan melebihi haddul kifayah. Maksudnya, mereka bukan fakir miskin tetapi lebihan itu tidak melangkaui maksimum RM3,000 daripada haddul kifayah. Mereka layak memohon bantuan fisabilillah persekolahan dan IPT.

“Permohonan dibuka sejak 25 November lalu dan akan ditutup 31 Januari depan bagi IPT, manakala bantuan persekolahan dibuka pada 11 Disember lalu serta ditutup 10 Februari depan.

“Bagi yang layak, segeralah membuat permohonan hanya menerusi dalam talian, insya-Allah sumbangan diterima dalam tempoh 14 hari. Jika dana habis awal, tarikh permohonan akan ditutup lebih awal. Justeru, masyarakat dan pemastautin yang layak di Selangor, jangan berlengah serta mohonlah segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Zakat Street On Wheels di Bazar Larut Malam (Uptown) Shah Alam di Seksyen 24, di sini, malam tadi.

Program bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu antara lain bertujuan memperluaskan kesedaran zakat dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda di lokasi berkenaan.

Inisiatif dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu juga sebagai usaha menyampaikan maklumat mengenai zakat secara mudah dan santai, selain mendekati masyarakat yang tidak berkesempatan ke kaunter LZS.

Dalam pada itu, Abdul Basith berkata, LZS memerlukan kira-kira RM900 juta bagi menyantuni keperluan semua asnaf di Selangor pada tahun depan.

“LZS menyasarkan kutipan zakat lebih RM200 juta bulan ini kerana berdasarkan unjuran perbelanjaan bagi menyantuni asnaf pada tahun depan, kami memerlukan kira-kira RM900 juta. Buat masa ini, LZS berjaya mengumpulkan kira-kira RM600 juta.

“Bagi memudahkan orang ramai membuat bayaran, LZS membuka kaunter tujuh hari seminggu sepanjang bulan ini. Malah, empat hari terakhir pada 28, 29, 30 dan 31 Disember, kaunter dibuka hingga jam 8 malam,” katanya.

Sementara itu, pada majlis malam tadi, beliau mewakili LZS menyampaikan pelbagai bantuan zakat berjumlah RM320,198 kepada enam individu dan sumbangan zakat sebanyak RM50,000 kepada KAFA Integrasi An-Najahiyah bagi tujuan baik pulih.

Seramai 29 peniaga yang ditimpa musibah kebakaran di PKNS Uptown Shah Alam, baru-baru ini, turut menerima sumbangan zakat berjumlah RM29,000.

Berita Harian X