Jumaat, 7 Disember 2018 | 12:48pm
Ian Ho (kiri sekali) bersama-sama barisan pemenang pada majlis Anugerah Penjual Shopee 2018, baru-baru ini. - Foto ihsan Shopee

Anugerah Penjual Shopee iktiraf peniaga cemerlang

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang terulung di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee memberi pengiktirafan kepada komuniti penjualnya yang semakin bertambah pada majlis penyampaian Anugerah Penjual Shopee 2018, baru-baru ini.

Sebanyak 14 anugerah disampaikan di Anugerah Penjual Shopee 2018 sebagai penghormatan kepada penjual terbaik meliputi pelbagai kategori dagangan, termasuk gaya hidup, telekomunikasi, fesyen dan elektronik.

Anugerah utama yang ditampilkan ialah Penjual Terbaik Tahun 2018 bagi Shopee Mall dan Marketplace.

Nestlé dan Mono Digital dinobatkan sebagai pemenang utama pada malam tersebut, masing-masing membawa pulang Penjual Terbaik Tahun 2018 bagi Shopee Mall dan Marketplace.

Di samping itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin memenangi Anugerah Selebriti Pilihan Ramai, berasaskan undian pengguna Shopee untuk gedung rasminya SimplySiti di Shopee Celebrity Squad (Skuad Selebriti Shopee).

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata sempena sambutan ulang tahun ini, pihaknya menganjurkan Anugerah Penjual Shopee 2018 sebagai tanda penghargaan kepada penjual, jenama dan rakan niaga yang menjadi tunggak kejayaan besar kami setakat ini.

“Sejak dibuka pada 2015, kami telah mengatasi jangkaan yang kami tetapkan sendiri dan 2018 merupakan satu lagi tahun yang mencatatkan mercu jaya penting, termasuk Shopee 11.11 Big Sale (Jualan Besar-Besaran11.11 Shopee) yang menerima 11 juta pesanan di seluruh rantau pada 11 November sahaja.

“Kami juga memperkenalkan BLACKPINK sebagai duta jenama serantau pertama sempena Shopee 12.12 Birthday Sale (Jualan Ulang Tahun 12.12 Shopee), lantas mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai platform e-dagang yang terulung di rantau ini,” katanya.

Acara gilang-gemilang itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pos Laju, Datuk Azlan Shahrim dan selebriti seperti Nora Danish serta Zoey Rahman.

Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Jualan, Nestlé Malaysia Berhad, Chew Soi Ping, berkata pihaknya berbesar hati kerana memenangi Anugerah Penjual Terbaik Tahun 2018 daripada Shopee.

“Seiring dengan perkembangan e-dagang di Malaysia, kami berbangga untuk memanfaatkan pertumbuhan ini bersama Shopee. Nestlé memberi tumpuan terhadap matlamat kami untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia dan membantu mewujudkan masa depan yang lebih sihat,” katanya.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata: “Semasa kami baru memulakan perniagaan SimplySiti pada 2010, kami mendapati wujud keperluan dan pasaran bagi jenama kecantikan mewah tempatan yang mampu bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Analisis kami ternyata tepat kerana SimplySiti telah berkembang maju untuk menjadi salah satu daripada jenama yang paling terkenal di dalam negara dan peringkat antarabangsa.”

Berita Harian X