Rabu, 5 Disember 2018 | 1:13pm
PERTANDINGAN fotografi galak orang ramai ke Zoo Negara.

Hadiah foto harimau RM5,555.55

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan ulang tahun ke-55, Zoo Negara Malaysia mempelawa peminat seni fotografi tanah air untuk menyertai pertandingan Photo Explorers (Penjelajah Foto) yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,555.55.

Pertandingan fotografi bagi kategori khas Harimau Malaya itu menjadi acara tumpuan selain kategori terbuka dan kategori pelajar sekolah menengah dan rendah yang bakal diadakan di Zoo Negara pada 15 Disember ini.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, berkata kategori khas ‘Pak Belang’ itu bakal mencabar kreativiti peserta untuk merakam pelbagai aksi menarik harimau di dalam Zoo Negara.

“Orang ramai boleh merakam gambar harimau di Zoo Negara sahaja sama ada sebelum atau pada hari pertandingan pada 15 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertandingan itu yang dibahagikan dalam tiga kategori dengan hadiah terkumpul RM15,000, diadakan bagi menggalakkan orang ramai berkunjung ke Zoo Negara pada musim cuti sekolah ini.

Katanya, peserta boleh menggunakan semua bentuk kamera seperti kamera digital atau telefon bimbit untuk merakam apa-apa subjek di dalam Zoo Negara pada hari pertandingan tetapi tidak boleh menggunakan dron.

Menurutnya, orang ramai yang berminat boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut di www.zoonegara.photocontest.my

Katanya, pendaftaran secara online dibuka untuk rakyat Malaysia sahaja dan orang ramai hanya perlu membayar pendaftaran termasuk tiket masuk ke Zoo Negara bernilai RM85 bagi kategori khas dan terbuka dan RM55 bagi kategori sekolah.

Berita Harian X