Sabtu, 1 Disember 2018 | 5:47pm
YANG Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin bersama Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri hadir pada Program Generasi Sihat Festival Komuniti 2018 anjuran Sime Darby Property dengan kerjasama MPK di Persada Bandar Bukit Raja, Klang. - Foto Faliq Lajim

Sime Darby Property serah e-bike kepada pembeli

KLANG: Sime Darby Property menyerahkan 50 unit e-bike (basikal elektrik) kepada pembeli rumah di Persada Bandar Bukit Raja dalam usaha menjadikan Klang bandar rendah karbon.

Ia bagi menyahut usaha Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) dengan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mengurangkan pembebasan karbon sebanyak lima peratus menjelang tahun 2027.

Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri, berkata serentak itu, pihaknya menyerahkan 50 unit kunci rumah kepada pemiliknya di Persada di sini.

Katanya, terdapat 230 unit ruah yang sudah siap menerusi projek itu namun pada hari ini pihaknya hanya menyerahkan 50 kunci kediaman manakala selebihnya akan diserahkan kemudian.

“Selain kunci, setiap pembeli juga diberikan satu unit e-bike. Ini sebagai tanda penghargaan kami kepada mereka, selain mengajak mereka mengamalkan kehidupan yang lebih sihat.

“E-bike ini boleh bergerak sehingga 20 kilometer dan boleh digunakan mereka untuk bersiar-siar di sekitar kawasan ini.

“Kami juga akan membina laluan basikal sepanjang 50 kilometer di bandar ini bagi memudahkan penduduk di sini menjalankan aktiviti sihat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Generasi Sihat Festival Komuniti 2018 anjuran Sime Darby Property dengan kerjasama MPK di Persada Bandar Bukit Raja, di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Sementara itu, Mohamad Yasid berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Sime Darby Property untuk bersama-sama menjayakan Pelan MPK ke arah bandar rendah karbon menjelang 2027.

“Usaha seperti ini memang kita sambut baik. Selalunya MPK yang akan bina laluan basikal namun kali ini Sime Darby Property mengumumkan pembinaan laluan itu melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Kita juga memuji Sime Darby Property yang memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) dalam menjimatkan penggunaan elektrik,” katanya.

Berita Harian X