Jumaat, 30 November 2018 | 12:07pm
Empat calon yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 di SK Pulau Seduku, Sri Aman. - Foto Melvin Joni
Empat calon yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 di SK Pulau Seduku, Sri Aman. - Foto Melvin Joni

4 murid banggakan SK Pulau Seduku

SRI AMAN: Walaupun keputusan kurang cemerlang dicapai empat murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku, di sini, September lalu, ia tetap membanggakan pengurusan sekolah berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman, berkata berdasarkan keputusan UPSR sekolah berkenaan yang diumumkan semalam, ia merekodkan peratusan kelulusan 75 peratus.

“Keputusan UPSR SK Pulau Seduku agak memuaskan meskipun daripada hanya empat calon, seorang sahaja yang mendapat E dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (Penulisan).

“Keputusan E Bahasa Inggeris itu menyebabkan peratusan kelulusan sekolah kali ini 75 peratus, walaupun sebelum ini pernah mendapat 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Wan Abdillah berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan guru dalam menjalankan program akademik yang dirancang pada tahun depan bagi meningkatkan prestasi sekolah kurang murid itu.

“Antaranya, Program Bitara UPSR, yang merangkumi empat subjek teras iaitu Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Malaysia.

“Malah, sekolah juga akan memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Seduku, Mohd Sepian Abang Daud, berkata beliau turut berpuas hati dengan pencapaian UPSR sekolah itu tahun ini, walaupun empat muridnya gagal mengekalkan rekod 100 peratus seperti dicatat tahun lalu.

“Mereka adalah anak keluarga miskin dan tidak mempunyai akses pembelajaran yang baik. Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan mereka,” katanya.

Keempat-empat murid Tahun Enam di SK Pulau Seduku itu pada tahun ini adalah dari Kampung Pulau Seduku.

SK Pulau Seduku terletak berhampiran dengan Kampung Pulau Seduku dan beroperasi di bangunan baharu sejak Januari tahun ini, selepas dipindahkan dari sekolah asal di Pulau Seduku yang hanya boleh dihubungi menerusi sistem pengangkutan air.

“Sebab itu, bilangan murid kami amat sedikit sekarang, yang keseluruhannya cuma 24 orang dalam Tahun Satu hingga Tahun Enam.

“Tahun depan, kami cuba untuk membawa masuk murid dari kampung lain yang terletak berhampiran sekolah,” katanya.

Berita Harian X