Jumaat, 30 November 2018 | 11:51am
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing. - Foto NSTP
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing. - Foto NSTP

JKR kaji aliran trafik di Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diarahkan menjalankan kajian aliran trafik di Bahagian Samarahan bagi mengatasi masalah kesesakan yang kritikal di kawasan itu, terutama pada waktu puncak.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata kajian itu akan dijalankan Januari depan apabila sesi persekolahan bermula bagi mendapatkan keputusan yang tepat mengenai aliran trafik sebenar.

“Isu kesesakan lalu lintas sepanjang Kota Samarahan ke Kuching termasuk laluan ke Asajaya meresahkan orang ramai.

“Malah, ia juga sering dibangkitkan pihak pembangkang dan wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Masing berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, lampu isyarat dipasang di lima bulatan utama iaitu di Jalan Setia Raja-Kota Samarahan, Stutong-Kota Samarahan (berdekatan Giant), Institut Latihan Perindustrian (ILP)/Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pusat Jantung dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Kos pemasangan lampu isyarat di kelima-lima bulatan ini ialah sebanyak RM110 juta dan mengambil masa beberapa tahun untuk siap,” katanya.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri merancang pembinaan laluan baharu yang menghubungkan Kota Samarahan ke bandar raya Kuching.

“Jambatan baharu akan dibina merentangi Sungai Sarawak menghubungkan LKIM ke Demak Laut menggunakan jalan sedia ada dari ILP/persimpangan LKIM dengan laluan dua lorong pada masa ini akan dinaik taraf menjadi laluan berkembar.

“Pembinaan jambatan dan laluan berkembar ini akan mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk siap,” katanya.

Beliau berkata, populasi penduduk yang semakin meningkat di Bahagian Samarahan, pertambahan kenderaan dan peningkatan taraf hidup penduduk yang bekerja di bandar raya Kuching, menjadi penyumbang utama kesesakan.

Berita Harian X