Rabu, 28 November 2018 | 2:32pm

Lynas jamin tidak berhentikan pekerja

KUANTAN: Lynas Corporation Ltd (Lynas) memberi jaminan tidak akan memberhentikan 645 pekerjanya jika langkah menutup sementara operasi loji di Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini, dilaksana.

Timbalan Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza Abdullah, berkata, langkah memberhentikan pekerja tidak berada dalam perancangan syarikat, sebaliknya akan menggunakan tenaga kerja sedia ada untuk melakukan tugasan lain.

“Kebajikan staf kita akan dijaga, kita tidak akan buang mereka. Sekiranya langkah untuk memberhentikan sementara operasi loji dimuktamadkan maka kita akan guna pekerja sedia ada untuk menjalankan tugasan lain.

“Kita banyak program (tugasan) lain seperti menaik taraf loji dan program tanggungjawab sosial korporat yang memerlukan pembabitan pekerja sedia ada,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze, semalam berkata, syarikat itu akan menutup operasi loji mereka sekiranya gagal mendapat kelulusan kerajaan berhubung pertimbangan meningkatkan kadar pengeluaran unsur nadir bumi berkualiti tinggi.

Beliau berkata, permohonan mengenai perkara itu difailkan selepas syarikat berkenaan kini menghampiri had pengeluaran tahunan seperti yang diluluskan kerajaan.

Sementara itu, Mimi Afzan Afza berkata, langkah penutupan sementara loji itu sudah dikaji dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebajikan semua pekerjanya.

“Mereka dalam peringkat perkiraan (fasa akhir) sebelum ia dimuktamadkan (keputusan penutupan loji),” katanya.

Pada 11 November lalu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Material Plants (LAMP), Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar, dilaporkan berkata laporan penuh dan hasil kajian akan diserahkan kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan, Yeo Bee Yin.

Mazlin berkata, laporan itu kemudian dijangka dibentangkan untuk penelitian lanjut pada mesyuarat Kabinet bagi merangka sebarang tindakan susulan berhubung status operasi loji Lynas.

Tiga aspek penilaian yang digariskan ialah aspek pematuhan kilang pengeluaran unsur nadir bumi berkenaan terhadap piawaian kesihatan dan keselamatan, alam sekitar dan pengurusan sisa radioaktif serta bahan berjadual dihasilkannya kepada alam sekitar.

Berita Harian X