Ahad, 25 November 2018 | 2:55pm
MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada penerima ketika majlis Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Lembaga Zakat Selangor Sesi 2018 di Cyberjaya. Turut kelihatan Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid (kiri). Foto Mohd Fadli Hamzah

LZS agih RM33 juta untuk bantuan persekolahan

CYBERJAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengagihkan zakat berjumlah RM33 juta kepada lebih 60,000 anak asnaf fakir dan miskin di Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan awal tahun depan.

Bantuan itu bagi menampung kos pembelian kelengkapan dan yuran persekolahan kepada anak asnaf di peringkat pra sekolah sehingga sekolah menengah.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata permulaan sesi persekolahan adalah tempoh yang kritikal untuk ibu bapa bagi menyediakan persiapan anak mereka, justeru golongan yang memerlukan itu perlu dibantu.

“Kita ada dua bantuan yang disampaikan kepada golongan ini iaitu sebelum Aidilfitri dan sebelum sekolah dibuka kerana tempoh berkenaan membabitkan kos kewangan yang tinggi dalam kalangan isi rumah golongan asnaf fakir dan miskin ini,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada media selepas Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf dan Fakir Miskin Negeri Selangor Sesi 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof Emeritus Dr Muhamad Awang; Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid; Canselor Universiti Multimedia (MMU), Tun Zaki Azmi dan Presiden MMU, Prof Datuk Ahmad Rafi Mohamed Eshaq.

Amirudin turut meminta ibu bapa daripada golongan asnaf fakir dan miskin berkenaan supaya tidak sesekali meminggirkan pendidikan terutama kepada anak-anak kerana faktor kemiskinan.

“Biarkan anak mencorak masa depan mereka dan tidak akan terus mewarisi kemiskinan,” katanya.

Melalui bantuan itu, setiap keluarga secara purata akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga untuk pembayaran yuran, pakaian serta kelengkapan sekolah.

Pada majlis itu, LZS turut menyalurkan agihan zakat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu sebanyak RM10 juta bagi pembelian perabot gantian dan tambahan untuk sekolah agama di Selangor, RM5.6 juta bagi tujuan pembelajaran abad ke-21 dan RM2 juta bagi Program Imarah Masjid Selangor.

Berita Harian X