Sabtu, 24 November 2018 | 3:35pm
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada majlis pemasyhuran Geopark Jerai sebagai Geopark Kebangsaan di kaki Gunung Jerai. - Foto BERNAMA
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada majlis pemasyhuran Geopark Jerai sebagai Geopark Kebangsaan di kaki Gunung Jerai. - Foto BERNAMA

Geopark Jerai dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan

ALOR SETAR: Geopark Jerai secara rasmi dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan, hari ini, sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29.

Majlis pemasyhuran itu disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di kaki Gunung Jerai, Jerai, dekat sini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata usaha menjadikan Gunung Jerai tapak geopark bermula sejak 2016 sebelum ia diperakukan pada tahun lalu.

“Hingga kini, hanya ada 140 UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Global Geopark di seluruh dunia.

“Besar harapan kita supaya Geopark Jerai dapat mengiringi Langkawi UNESCO Global Geopark yang menjadi satu-satunya geopark global di Malaysia ketika ini,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Yang turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Xavier berkata, Geopark Jerai berkeluasan 800 kilometer persegi merangkumi dua daerah, iaitu Yan dan Kuala Muda yang terpilih untuk pembangunan geopark.

“Secara saintifik, kawasan ini terletak dalam lingkungan geodiversiti Formasi Jerai, Formasi Mahang dan Granit Jerai.

“Formasi Jerai dengan usia batuan selama 550 juta tahun berada pada kedudukan tertinggi, iaitu 1,217 meter dari aras laut, menjadikan Gunung Jerai sangat unik dan memiliki nilai warisan geologi sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Granit Jerai yang membentuk landskap kawasan Jerai turut diharap mampu memukau pandangan pengunjung yang melalui lingkungan berkenaan.

Berita Harian X