Rabu, 21 November 2018 | 2:11pm
(DUDUK dari kiri) Penasihat Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pulau Pinang, D Kanda Kumar; Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil; Aktivis Penang Forum, Khoo Salma Nasution dan Pengasas bersama Penang Hills Watch (PHW), Rexy Prakash pada sidang media di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad

Hotel di Bukit Bendera didakwa bertentangan RKK

GEORGETOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar mempersoal kenyataan dikemukakan kerajaan negeri berhubung cadangan pembinaan hotel di Bukit Bendera, yang didakwa bercanggah dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK).

Pengasas bersama Penang Hills Watch (PHW), Rexy Prakash, berkata ia susulan beberapa kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berhubung cadangan pembinaan itu dilihat bertentangan dengan RKK Bukit Bendera yang diwartakan pada 2016.

Katanya, ia berikutan tapak pembinaan hotel berhampiran Banglo Convalescent itu diwartakan sebagai kawasan tadahan hujan dengan hutan simpan di situ diklasifikasikan sebagai Persekitaran Sensitif Tahap 1 dan kegiatan penebangan pokok tidak disokong.

“Dalam RKK Bukit Bendera, tapak itu diwartakan sebagai ‘kawasan penginapan pelancong bagi menyesuaikan dengan persekitaran hutan dan pembangunan berkapasiti rendah’.

“Ia membimbangkan apabila hotel 200 bilik akan dibina di kawasan tadahan hujan. Ia dikhuatiri akan mengganggu, pengenapan atau mencemarkan kawasan tadahan hujan, selain mungkin menjejaskan bekalan air.

“Rancangan pembinaan itu akan menjejaskan usaha konservasi dan pemuliharaan keunikan biodiversiti Bukit Bendera bagi jangka panjang, malah Kon Yeow dalam janjinya awal tahun ini menegaskan, pentadbirannya akan mengekalkan hutan simpan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, memaklumkan dua hotel akan dibina di Bukit Bendera, masing-masing terletak di belakang Banglo Convalescent dan lereng bukit, lembah berhampiran kafe di Laluan Kuli dekat puncak berkenaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata kerajaan negeri seharusnya memberi tumpuan membangunkan kawasan Seberang Perai, berbanding di pulau.

“Ia sangat membimbangkan apabila 20 nyawa terkorban ekoran tanah runtuh dalam tempoh setahun. Kini, kerajaan negeri pula bercadang membina hotel di puncak Bukit Bendera.

“Mereka tak boleh membandingkan Pulau Pinang dan Hong Kong kerana struktur negeri ini berbukit, manakala Hong Kong pula gunung. Biarkan kawasan pulau ini dan bangunkan Seberang Perai,” katanya.

Penasihat Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pulau Pinang, D Kanda Kumar, berkata ahli politik di negeri itu diingatkan supaya mengambil iktibar kejatuhan sebuah parti politik terdahulu di Pulau Mutiara adalah ekoran cadangan untuk membangunkan Bukit Bendera.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan parti politik berkenaan secara khusus.

Berita Harian X