Selasa, 20 November 2018 | 7:37pm
PESERTA program dakwah Da`i TV3, Da’i Raisyah dan Da’i Elyas mengedar muffin kepada pengunjung ketika program `Story of Rasullullah’ sempena sambutan Maulidur Rasul di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Padang Polo di Ipoh, petang tadi. - Foto Abdullah Yusof
PESERTA program dakwah Da`i TV3, Da’i Raisyah dan Da’i Elyas mengedar muffin kepada pengunjung ketika program `Story of Rasullullah’ sempena sambutan Maulidur Rasul di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Padang Polo di Ipoh, petang tadi. - Foto Abdullah Yusof

Edar 500 kek muffin sempena Maulidur Rasul

IPOH: Peserta program dakwah Da`i TV3, Da’i Raisyah dan Da’i Elyas menyertai sukarelawan mengedar lebih 500 muffin kepada pengunjung ketika program `Story of Rasullullah’ sempena sambutan Maulidur Rasul di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Padang Polo di sini, petang tadi.

Program anjuran Generasi Islam Gempak (GIGIPH), Ipoh Big Brother dan Ipoh Alternatif, bermula jam 5 petang dengan program sembang santai disampaikan oleh kedua-dua da’i di tengah-tengah taman rekreasi berkenaan.

Pengarah program, Muhammad Ashraf Zakaria, berkata program diadakan secara santai bagi menarik golongan muda untuk mendekati agama.

“Selalunya orang akan mengadakan dakwah di dalam premis seperti masjid tetapi kita memilih di tempat yang terbuka dan secara dakwah jalanan untuk lebih menarik anak muda.

“Program hari ini kita meraikan Maulidur Rasul bersama orang ramai, jadi kita membawa kedua da’i untuk mengadakan dakwah secara sembang santai dan turut mengedar muffin, coklat dan makanan kepada pengunjung di Padang Polo,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di sini.

Muhammad Ashraf berkata, program berkenaan disertai kira-kira 50 sukarelawan terdiri daripada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pelajar institut pengajian tinggi.

Katanya, program diteruskan lagi pada sebelah malam iaitu sembang santai dakwah ‘Sharing about Rasulullah’ di Bagiruang Ipoh.

“Esok, kita akan sambung program ini di Padang Bola Sepak Kampung Tengku Hussin serta program Rockers Berselawat 2.0 yang disampaikan oleh Ustaz Huri dan Zul Handy Black,” katanya.

Berita Harian X