Ahad, 18 November 2018 | 10:34am
Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan KL Car Free Morning, Datuk Naim Mohamad (kanan) melepaskan peserta OCBC KL Car Free Morning bersempena ulang tahun ke 5 di Dataran DBKL. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan KL Car Free Morning, Datuk Naim Mohamad (kanan) melepaskan peserta OCBC KL Car Free Morning bersempena ulang tahun ke 5 di Dataran DBKL. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Lebih 3,000 peserta sertai Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan

KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 peserta menyertai kempen Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan kali ke-100, di sini, pagi ini.

Program anjuran Bank OCBC dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menyaksikan peserta berbasikal dan memulakan larian seawal jam 7 pagi.

Pengerusi OCBC KL Car Free Morning, Datuk Naim Mohamad, berkata tahun ini adalah ulang tahun kelima kempen ini dijalankan dalam usaha menggalak orang ramai menjalani aktiviti seumpama ini disamping mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya acara larian pada tahun ini turut mendapat penyertaan daripada Persatuan Diabetes Wilayah Persekutuan.

“Malaysia tidak lama lagi akan mengecapi negara maju, dan ia perlu seiring dengan rakyat yang sihat.

Orang ramai yang menyertai OCBC KL Car Free Morning bersempena ulang tahun ke 5 di Dataran DBKL. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Orang ramai yang menyertai OCBC KL Car Free Morning bersempena ulang tahun ke 5 di Dataran DBKL. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Kempen ini sentiasa mengutamakan empat agenda utama iaitu perpaduan dalam kalangan masyarakat, gaya hidup sihat, erat hubungan keluarga dan menyelamatkan alam sekitar,” katanya ketika ditemui NSTP selepas melepaskan peserta larian Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan.

Naim juga berkata acara bulanan itu sedikit sebanyak membantu merendahkan pengeluaran karbon di ibu kota.

“Ada beberapa stesen merekodkan catatan pengeluaran karbon dan ternyata kita nampak perubahan pada hari ini (Ahad).

“Impak daripada ini bukan saja masyarakat mempunyai kesedaran tinggi dan tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar tetapi juga kenderaan awam menjadi pilihan mereka untuk berjalan pada hujung minggu.

“Ini sekali gus meningkatkan penggunaan kenderaan awam sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur,” katanya.

Kempen Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan yang dijalankan pada hari Ahad pertama dan ketiga setiap bulan adalah antara langkah untuk mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di dalam bandar.

Antara laluan yang ditutup selama dua jam bagi kempen itu termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee dan Jalan Tun Perak.

Berita Harian X