Jumaat, 16 November 2018 | 7:12pm
KON Yeow pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Ke- 14 di Bangunan DUN Pulau Pinang, Lebuh Light. - NSTP/Mikail Ong
KON Yeow pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Ke- 14 di Bangunan DUN Pulau Pinang, Lebuh Light. - NSTP/Mikail Ong

Pulau Pinang hadkan tempoh kuasa Ketua Menteri

GEORGETOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri selama dua penggal.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata, cadangan itu bagi mencegah penyalahgunaan kuasa, selain ia sebagai simbolik pembaharuan kepemimpinan kerajaan negeri.

Beliau berkata, tindakan kerajaan negeri juga selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dan Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama melaksanakan mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri.

“Usaha murni kerajaan negeri untuk meminda perlembagaan membuktikan kerajaan negeri sentiasa mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti, dan Telus (CAT) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Ini juga adalah bukti kerajaan PH menepati segala janjinya dan semoga usaha kerajaan negeri dijadikan penanda aras,” katanya pada Persidangan DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Ketika sesi pengundian dilakukan, tiga wakil pembangkang iaitu Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua); Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga), dan Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan), mengambil pendekatan berkecuali.

Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang kemudiannya mengumumkan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri selama dua penggal diluluskan dengan majoriti dua pertiga.

Untuk rekod, usaha meminda perlembagaan membabitkan had kuasa Ketua Menteri pernah disuarakan bekas ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu sebanyak empat kali, sejak 2013.

Bagaimanapun, semua usaha itu gagal apabila usul Yee Cheu ditolak, sebelum beliau akhirnya keluar DAP pada April lalu.

Berita Harian X