Khamis, 15 November 2018 | 12:24pm
YAHAYA Ali. - NSTP/Ghazali Kori
YAHAYA Ali. - NSTP/Ghazali Kori

DUN Terengganu bahas Belanjawan 2019 5 hari

KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya perbahasan Belanjawan Negeri 2019 diadakan selama lima hari bermula 25 November ini, berbanding empat hari ketika Barisan Nasional memerintah.

Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali, berkata tambahan hari pada pembentangan Belanjawan Negeri yang sulung bagi kerajaan pimpinan PAS itu bertujuan memberi peluang kepada seramai mungkin ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengambil bahagian dalam perbahasan.

Katanya, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan membentangkan Belanjawan Negeri 2019 pada hari pertama persidangan.

“Pada hari pertama, Dr Ahmad Samsuri akan membentangkan Belanjawan 2019 dan diikuti dengan sesi menjawab soalan lisan sebelah pagi pada hari kedua dan perbahasan belanjawan pada sebelah petang.

“Kita bersetuju untuk memanjangkan tempoh persidangan dari empat hari kepada lima bagi memberi peluang dan kepuasan kepada semua ADUN untuk membahaskan Belanjawan 2019,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi.

Persidangan DUN untuk belanjawan itu juga mencipta sejarah apabila buat julung kalinya ADUN hanya perlu mengemukakan soalan dalam talian dan bukannya menggunakan kaedah lama menerusi surat.

Yahaya berkata, kaedah baharu itu bertujuan meningkatkan kecekapan mengurus dan mentadbir perjalanan DUN sekali gus menjimatkan masa selain menyahut seruan untuk mengurangkan penggunaan kertas.

“Melalui kaedah itu, semua ADUN termasuk 10 wakil rakyat BN hanya perlu mengemukakan soalan menggunakan sistem e-Dewan, selepas notis panggilan mesyuarat dihantar,” katanya.

Terengganu adalah negeri ketiga yang memperkenalkan e-Dewan selepas Selangor dan Perak.

Berita Harian X