Selasa, 13 November 2018 | 8:26pm
EXCO Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Strategik Country Garden dan Forest City, Ng Zhu Hann hadir pada majlis perasmian Program Pembaikan dan Keceriaan Sekolah Angkat Forest City di SK Tanjung Adang, Jalan Tanjung Kupang, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Baik pulih empat sekolah di Gelang Patah

ISKANDAR PUTERI: Pemaju Forest City, Country Garden Pacificview (CGPV) Sdn Bhd membelanjakan RM550,000 untuk membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang, dekat sini, yang berusia kira-kira 100 tahun.

Pengarah Strategik Country Garden dan Forest City, Ng Zhu Hann, berkata perbelanjaan besar dikeluarkan bagi memastikan setiap kerosakan dibaiki, terutama sistem pendawaian dan paip.

“Sekolah ini sudah berusia 100 tahun. Jadi, pelbagai kerosakan perlu dibaiki dengan teliti bagi mengelak kejadian tidak diingini. Paling rumit ketika membaiki sistem pendawaian dan paip di seluruh sekolah kerana ia membabitkan keselamatan.

“Perubahan lain ialah bagi menambah keselesaan hampir 200 murid, guru dan kakitangan termasuk mengecat, pembaikan tangga, mural, menyediakan kawasan umum, pondok pengawal keselamatan dan lapangan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Program Pembaikan dan Keceriaan Sekolah Angkat Forest City di SK Tanjung Adang, Jalan Tanjung Kupang di sini, hari ini.

Zhu Hann berkata, pihaknya hanya mengambil masa kurang dua bulan untuk membaiki segala kerosakan berikutan kepakaran yang dimiliki dan peralatan mencukupi.

Katanya, program itu adalah pelan jangka panjang untuk memajukan kualiti pembelajaran khususnya di kawasan pedalaman.

Tahun depan, katanya, pihaknya bercadang membaiki kerosakan di tiga sekolah angkat Forest City termasuk sebuah sekolah berusia 60 tahun.

“Pegawai kami sudah memeriksa sekolah berkenaan dan menganggarkan kos penyelenggaraan melebihi RM300,000 manakala dua sekolah yang lain tidak membabitkan kos yang tinggi kerana bangunannya masih baharu.

“Pada masa sama, pengurusan akan melancarkan Yayasan Forest City tahun depan bagi memberi bantuan kepada sekolah di luar kawasan Iskandar Puteri,” katanya.

Berita Harian X