Selasa, 13 November 2018 | 3:00pm
KEADAAN banjir di Kampung Kolam Air, Simpang Renggam. - Foto ihsan APM

44 mangsa banjir di Simpang Renggam dipindahkan

SIMPANG: Seramai 44 penduduk dari 10 keluarga dari Kampung Kolam Air, Simpang Renggam dekat sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan kawasan terbabit mula dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Mengikut kenyataan media dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, hujan mula melanda kawasan terbabit kira-kira jam 4 petang semalam dan bertambah lebat hingga ke tengah malam.

Pada jam 12.30 tengah malam tadi, air mula melimpah ke kawasan rumah penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah.

Keadaan hujan yang masih belum reda sehingga jam 5 pagi tadi menyebabkan kawasan rendah mula dinaiki air hingga menyebabkan penduduk terjejas terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Kampung Kolam Air.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 44 mangsa dari 10 keluarga di kampung terbabit masih berlindung di pusat pemindahan terbabit.

Pemantauan berterusan mengenai banjir itu masih dilakukan oleh pihak APM yang turut mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Penghulu Mukim dan Pejabat Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Berita Harian X