Selasa, 13 November 2018 | 12:28pm
NIP Wing Kan bersama salah seorang pengusaha agensi pelancongan Makassar dalam program Indonesia Tourism Table Top di Makassar, Indonesia. - NSTP/Norasikin Daineh

Makassar, Toraja tawar peluang usahasama pelancongan Sabah-Indonesia

MAKASSAR (Indonesia): Lawatan suai kenal anjuran Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau ke Makassar dan Toraja, Indonesia membuka peluang kepada ejen pelancongan tempatan menjalinkan usaha sama berhubung industri pelancongan negara dengan negara jiran itu.

Rombongan selama tujuh hari bermula 5 November lalu membawa sekumpulan agensi pelancongan dari Tawau, termasuk media ke dua wilayah di Sulawesi Selatan bagi melihat sendiri tarikan yang boleh diperkenalkan kepada rakyat Malaysia terutama masyarakat keturunan Bugis.

Ketua Pegawai Eksekutif Sipadan Mangrove Resort Sdn Bhd, Dr Nip Wing Kan, berkata perjalanan selama tujuh hari itu digunakan untuk mengkaji pasaran di dua daerah itu bagi pelancong tempatan.

“Ini trip pertama saya ke Makassar dan keseluruhannya saya melihat peluang pasaran tempatan terutamanya Bugis di Sabah yang mana ia sebagai konsep ‘pulang ke kampung’ kerana budaya Bugis ada di Sabah walaupun pasarannya kecil.

“Bagaimanapun, perjalanan (laluan) masih menjadi masalah kerana untuk ke Makassar dan Toraja terpaksa melalui perjalanan panjang dari Tawau memandangkan tiada penerbangan terus dari Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Wing Kan berharap adanya jalinan kerjasama dengan syarikat penerbangan kedua-dua negara supaya perjalanan dapat dipendekkan bagi membawa pelancong di dua wilayah itu.

Pengurus sebuah agensi pelancongan Tawau, Haris Muda, pula berkata kunjungan ke Makassar dapat membuka mata ejen pelancongan di Sabah berhubung potensi dan keupayaan ditawarkan di Sulawesi terutamanya Makassar dan Toraja.

“Saya yakin dengan adanya program ini akan terjalin kerjasama antara syarikat kami dengan ejen pelancongan di dua wilayah ini seperti yang sudah dilakukan di Tarakan.

“Syarikat kami akan berusaha sedaya upaya memperkenalkan dua wilayah ini sebagai destinasi pilihan bagi rakyat Malaysia selain memperkenalkan produk pelancongan yang ada di Sabah,” katanya yang mewakili Syarikat Dynamic Tour Travel & Incentive Sdn Bhd cawangan Tawau.

Sementara itu, Sekertaris I Pelaksana Fungsi Ekonomi KRI di Tawau, Septania Ruby Prameswari, berkata ia adalah salah satu peranan mereka di KRI untuk memperkenalkan seluruh wilayah di Indonesia.

“Kami mempromosikan daerah pelancongan kepada masyarakat di Sabah khususnya di Tawau dan kali ini kita mahu memperkenalkan Makassar dan Toraja sebagai daerah didiami penduduk keturunan Bugis yang juga ada di Sabah,” katanya.

Lawatan suai kenal yang berakhir kelmarin disertai tujuh ejen pelancongan dari Sabah dan lima wakil media untuk melihat sendiri budaya, makanan dan lokasi pelancongan ditawarkan dari dua wilayah itu.

Berita Harian X