Isnin, 12 November 2018 | 1:49pm
ADLY (depan kanan) menjawab soalan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Melaka, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

Pendedahan hutang negeri bukti kerajaan telus - KM Melaka

AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata pendedahan hutang negeri berjumlah RM1.8 bilion adalah sebagai bukti ketelusan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama, katanya, ia adalah satu daripada usaha untuk menarik pelabur bagi menanam modal di negeri ini kerana golongan terbabit mahu tahu mengenai kedudukan sebenar ekonomi negeri.

“Pelabur mahukan ketelusan dan pendedahan itu membuktikan PH adalah sebuah kerajaan yang telus, malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mendedahkan hutang kerajaan Persekutuan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu adalah melebihi RM1 trilion.

“Menerusi pendedahan itu, Dr Mahathir berjaya mendapat kepercayaan kerajaan Jepun untuk memperoleh tawaran jaminan penerbitan bon Samurai pinjaman dengan kadar faedah hanya 0.65 peratus, sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mengenai pendedahan hutang negeri pada pembentangan Belanjawan Melaka 2019, Jumaat lalu.

Pada pembentangan belanjawan oleh Adly (AMANAH-Bukit Katil), kerajaan negeri melaksanakan langkah jangka pendek secara berhemah bagi mengurangkan perbelanjaan negeri, termasuk mengurangkan perbelanjaan makan dan minum ketika mesyuarat, mengurangkan dan merasionalisasi penganjuran program rasmi kerajaan negeri, merasionalisasi perbelanjaan misi perdagangan.

Selain itu, pelaburan dan promosi pelancongan ke luar negara dengan mengurangkan bilangan ahli delegasi dan kaedah perolehan yang lebih terbuka.

Berdasarkan laporan hutang negeri itu, Adly berkata baki hutang awam daripada kerajaan Persekutuan sehingga 31 Oktober lalu berjumlah RM839.93 juta, diikuti defisit Akaun Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM548.33 juta serta hutang wang pendahuluan bagi bayaran khas kewangan RM525.09 juta.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mengurangkan beban hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu menerusi beberapa kaedah.

Antaranya, menggunakan tanah terbiar milik kerajaan negeri untuk dimaju atau dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan dengan sesuatu projek serta memberi hasil kepada negeri.

“Menerusi hasil atau keuntungan yang diterima itu membolehkan bayaran semula hutang dibuat kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

suzalina@nstp.com.my

ALOR SETAR: Kedah akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk ‘menukar’ hutang yang dibuat daripada negeri bagi projek menaiktaraf perkhidmatan bekalan air di luar bandar kepada bentuk geran.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata permohonan mengenai perkara itu pernah dirunding bersama pentadbiran kerajaan terdahulu namun ia tidak mencapai kata sepakat.

“Justeru kita berharap, kerajaan Persekutuan pertimbang untuk mengurangkan hutang atau penghapusan kredit terhadap jumlah hutang kerajaan negeri dengan pusat.

“Ini kerana sewaktu saya menjadi Menteri Besar pada pentadbiran kerajaan sebelum ini, memang ada perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi apa sebenarnya hutang negeri dengan pusat dan jika ia berkaitan dengan projek air ia sepatutnya diberi dalam bentuk geran, ” katanya menjawab soalan (PAS-Datuk Dr Mohd Hayati Othman) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.

Mohd Hayati ingin tahu sama ada kerajaan Persekutuan ada memberikan diskaun terhadap jumlah hutang yang dibuat Kedah sehingga kini.

Pada masa sama menjawab soalan The Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) berhubung jumlah hutang yang dibuat kerajaan negeri sehingga Oktober tahun ini, Mukhriz berkata, ia adalah sebanyak RM2.54 bilion.

Beliau berkata, tujuan pinjaman ini dibuat antaranya untuk rancangan bekalan air di Kedah dengan faedah bayaran yang dikenakan antara kosong hingga dua peratus.

“Kerajaan negeri akan membayar balik hutang berdasarkan kemampuan dan kedudukan kewangan semasa selain meneroka sumber hasil atau pendapatan yang baharu bagi membantu meningkatkan pembayaran balik hutang, ” katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk memohon bayaran atau sumbangan daripada kerajaan Persekutuan bagi sebarang tindakan pembatalan pembalakan di Kedah seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019.

“Mengenai pampasan pembatalan pembalakan setakat ini ia masih berkecuali sebab tiada jawapan yang meyakinkan namun pada masa sama kerajaan Persekutuan tidak juga menolak.

“Namun jika kita lihat pada pembentangan Belanjawan 2019 memang ada peruntukkan untuk bayaran atau sumbangan terhadap negeri yang membuat keputusan untuk membatalkan pembalakan dan kami akan pertimbangkan untuk memohon, ” katanya.

Berita Harian X