Isnin, 5 November 2018 | 4:18pm
MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (kiri) berbual dengan mangsa ribut, Mohad Fitri Sakrani (dua dari kiri) ketika melawat keadaan rumah yang dipukul ribut sabtu lalu di Kampung Rapat Jaya Tambahan, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof

Belanjawan 2019 Perak dijangka dibentang 27 November

IPOH: Kerajaan negeri dijangka membentangkan Belanjawan 2019 pada 27 November ini bagi menampung keperluan rakyat Perak tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata beberapa perkara perlu diperhalusi dan diambil tindakan sebelum kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2019 pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun katanya, dalam pembentangan itu, beliau berharap sektor pelaburan diberi tumpuan bagi menarik lebih pelabur melabur sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya berharap sektor pelaburan dan industri dapat diberikan tumpuan bagi membolehkan pelbagai program berkaitan dapat dilaksanakan sebagai usaha menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa yang terbabit dalam kejadian ribut di Kampung di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini hari ini.

Berhubung kejadian ribut berkenaan, beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat berkata, sembilan rumah dan sebuah surau di kampung tersebut mengalami kerosakan dalam kejadian hujan lebat serta ribut kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu.

“Sebanyak RM10,000 hingga RM12,000 peruntukan diperlukan untuk membaik pulih rumah dan surau yang terjejas.

“Bantuan akan disalurkan kepada semua mangsa terbabit menerusi tabung bencana yang disediakan di pejabat daerah, bantuan dari kerajaan negeri, pejabat ADUN Sungai Rapat,” katanya.

Berita Harian X