Sabtu, 3 November 2018 | 9:06pm
LALUAN Linkedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura memberi kemudahan kepada rakyat yang bekerja di negara jiran. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
LALUAN Linkedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura memberi kemudahan kepada rakyat yang bekerja di negara jiran. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Lebih ramai dijangka guna Linkedua

JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan menghapuskan tol bagi penunggang motosikal di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) boleh menggalakkan orang ramai menggunakan laluan itu berbanding Tambak Johor.

Pengguna, Mohd Fikri Arif, 47, berkata ia satu langkah menjimatkan perbelanjaan penduduk yang bekerja di republik itu.

Dia yang bekerja di Yishun sejak 10 tahun lalu berkata, dia menggunakan kedua-dua laluan itu kerana kedudukan tempat kerjanya di tengah-tengah republik berkenaan dan akan menggunakan Linkedua lebih kerap selepas ini.

“Kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan Tambak Johor kerana ia hampir dengan bandar, jika berlaku kerosakan mudah untuk mendapatkan bantuan berbanding Linkedua.

“Bagaimanapun, dengan penjimatan ini iaitu RM1.60 sehala, saya yakin ia akan mendorong penunggang menggunakan Linkedua.

“Pada masa sama, adalah lebih baik sekiranya pihak berkuasa republik itu membatal atau mengurangkan tol sebanyak S$2.50 (RM7.50) sehala,” katanya.

Pengguna, Bernard Dass, 47, pula berpendapat walaupun langkah itu memberi penjimatan kepada pengguna, ia dijangka kurang mendatangkan kesan berikutan kedudukannya terlalu jauh iaitu pengguna akan keluar di Tuas, Singapura, berbanding Woodlands.

“Bagi mereka yang tinggal di sekitar Skudai, Gelang Patah dan Senai, langkah ini memang memberikan mereka penjimatan kerana hampir dengan rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, sama ada ia dapat menggalakkan mereka menggunakan Linkedua atau tidak masih belum pasti kerana ia bergantung kepada tempat kerja masing-masing.

“Apapun, ia satu tindakan bijak dan boleh menarik penunggang motosikal menggunakan Linkedua, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor,” katanya yang menggunakan Tambak Johor ke republik itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Dass berkata, walaupun lebih gemar menggunakan Tambak Johor, dia juga menggunakan Linkedua dan penghapusan tol akan mendorong dia menggunakan laluan itu lebih kerap berbanding sebelum ini.

“Saya berharap pihak berkuasa akan menambah baik tahap keselamatan dan laluan motosikal di Linkedua kerana sekarang ini, banyak kemalangan kecil berlaku di situ.

“Apabila tiada tol, jumlah pengguna dijangka bertambah namun aspek keselamatan dan keselesaan perlu diambil kira,” katanya.

Berita Harian X