Khamis, 1 November 2018 | 3:26pm
SETIAUSAHA Gabungan Tiga Persatuan Teksi Kereta Sewa Terminal Satu Seremban (GTPTKSTSS), K Balakrishnan. - Foto Adzlan Sidek

Seragamkan perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing

SEREMBAN: Gabungan Tiga Persatuan Teksi Kereta Sewa Terminal Satu Seremban (GTPTKSTSS) berharap kerajaan menyeragamkan semua perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing.

Setiausahanya, K Balakrishnan, berkata pemandu teksi juga boleh menggunakan sistem sama seperti Grab namun masalah timbul di peringkat awal pendaftaran.

“Sistem e-hailing tidak dikawal oleh kerajaan, sebaliknya oleh sebuah syarikat.

“Mereka lebih mengutamakan pemandu Grab yang menggunakan kereta baharu menyebabkan pendapatan kami kini terjejas,” katanya dalam pertemuan bersama NSTP di pondok teksi Terminal One, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Setiausaha gabungan itu, Bari Surriman dan Ahli Jawatankuasa GTPTKSTSS, S Shankar.

Balakrishnan berkata, berikutan Grab menguasai e-hailing, mereka mengawal harga yang lebih murah, sebaliknya teksi mengenakan kadar ditentukan kerajaan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kami pernah bertemu syarikat e-hailing untuk menggunakan sistem mereka namun hak dinafikan. Kerajaan perlu mengambil tindakan dan menyelaraskan harga,” katanya.

Beliau berkata, pemandu teksi boleh menggunakan kereta baharu dengan syarat kerajaan memudahkan urusan pinjaman bank kerana kebanyakan pemandu berusia 50 tahun ke atas.

“Pemandu teksi lebih berpengalaman, bergerak mengikut undang-undang dan menanggung pelbagai kos tetapi tidak bagi pemandu Grab.

“Mereka gemar mengambil penumpang di Terminal One, malah berbaris di tepi jalan hingga menimbulkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dakwanya, kira-kira 10 pemandu Grab merampas penumpang mereka setiap hari dan tidak mengendahkan teguran yang diberikan.

“Pendapatan kami merudum 70 peratus sejak tiga tahun lalu. Jika sebelum ini, pemandu mampu meraih RM150 sehari dengan melakukan 10 perjalanan tetapi kini hanya RM30 dan terpaksa menunggu tiga jam,” katanya.

Selain itu, katanya, pemandu teksi menanggung banyak kos iaitu sewa kenderaan RM30 sehari, petrol, memperbaharui lesen, insurans, cukai jalan dan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) yang tidak dilalui pemandu e-hailing.

Mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Balakrishnan berkata, pemandu tidak mampu mencarum RM157.20 setahun kerana pendapatan berkurangan dan ada banyak komitmen termasuk keluarga.

“Ramai orang bercakap kononnya pemandu teksi tidak menggunakan meter sedangkan ia hanya membabitkan segelintir pemandu. Sepatutnya tindakan diambil terhadap individu bukannya menyalahkan keseluruhan pemandu teksi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya ada memaklumkan masalah yang dihadapi pemandu terbabit kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, pada 23 September lalu.

Berita Harian X