Rabu, 31 Oktober 2018 | 4:41pm
LPPKN menumpukan kepada pembudayaan keluarga bijak siber dan mengawal penggunaan telefon pintar secara bijak untuk kesejahteraan keluarga.
LPPKN menumpukan kepada pembudayaan keluarga bijak siber dan mengawal penggunaan telefon pintar secara bijak untuk kesejahteraan keluarga.

Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan terap kawalan gajet, internet

KUALA LUMPUR: Forum Keluarga Bijak Siber antara pengisian sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Seremban 2, Seremban, Sabtu ini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat LPPKN, Rosmonaliza Abdul Ghani berkata, sambutan berkenaan akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Katanya, ‘Keluargaku Sayang’ dipilih sebagai tema sambutan itu bermatlamat menerapkan nilai kasih sayang dalam keluarga dengan membudayakan etika dan peraturan mengawal penggunaan gajet serta melayari internet secara sihat.

Beliau berkata, Keluarga Bijak Siber diketengahkan melalui pendekatan keibubapaan di alam siber bertujuan memberi pendidikan dan pengetahuan kepada ibu bapa mengenai panduan kawalan serta penggunaan gajet secara positif dan amalan keselamatan siber.

“Pengisian program termasuk bicara santai bertajuk ‘Sekeluarga Tolak Pornografi’ dan `Panduan Kesihatan Seksual dalam Media Sosial’,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Antara rakan strategik sambutan berkenaan adalah Kerajaan Negeri Sembilan, CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Berita Harian X