Isnin, 29 Oktober 2018 | 5:18pm

Silat adalah wadah penyatuan Melayu

BERANANG: Silat adalah ejen terbaik dalam menyatukan Melayu tanpa mengambil kira fahaman politik serta perbezaan pendapat dan ideologi.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunos, berkata penyatuan orang Melayu dalam pertubuhan silat selama ini dilihat konsisten dalam menyatukan orang Melayu selain amat berpegang teguh dengan kesetian terhadap institusi diraja.

Katanya, kerajaan kini komited untuk memastikan institusi diraja dipelihara dan pembabitan warga silat dilihat mampu untuk merealisasikan hasrat ini.

“Apa yang saya lihat, orang silat amat setia dengan sistem diraja. Itu jugalah yang kerajaan kini mahukan iaitu memastikan sistem itu dipelihara dan dimartabatkan.

“Saya yakin, pembabitan orang silat sebagai satu institusi orang Melayu adalah mereka yang mampu membantu mempertahan dan memartabatkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mandi Minyak Perdana dan Malam Adat Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Bahagian Selangor, di ibu gelanggang Selangor, di Beranang, semalam.

Hasanuddin bersama Guru Utama PSSPGM selepas menerima sandang Imam Khalifah Negeri.
Hasanuddin bersama Guru Utama PSSPGM selepas menerima sandang Imam Khalifah Negeri.

Dalam majlis yang sama, Hasanuddin turut dianugerahkan sandang Imam Khalifah Negeri yang sekali gus mengangkat beliau sebagai Penaung bagi Selangor.

Turut menerima sandang, Pelakon yang pernah popular pada era 1980-an dengan nama Sidi Oraza, Datuk Syed Osman Syed Rastan, yang dianugerahkan sandang Penasihat Kehormat.

Majlis itu juga turut menganugerahkan sandang kepada 11 individu lain yang akan menjadi penggerak kepada Pusaka Gayong Selangor selepas ini.

Seramai lebih 500 penggerak silat hadir dalam majlis malam itu selain 400 lagi anak silat hadir dalam majlis mandi minyak pada petang sebelum itu.

Ketika ditemui selepas majlis, Hasanuddin turut bersetuju untuk berusaha bagi membangunkan ibu gelanggang dengan menjadikan imejnya lebih sesuai dengan peranan gelanggang itu sebagai pusat pentadbiran dan gelanggang utama Selangor.

HASANUDDIN dianugerahkan sandang Imam Khalifah Negeri yang berperanan sebagai Penaung Selangor
HASANUDDIN dianugerahkan sandang Imam Khalifah Negeri yang berperanan sebagai Penaung Selangor
Berita Harian X