Isnin, 29 Oktober 2018 | 2:07pm
NAIB Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi dan Dekan UTeM pada sidang media khas sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-14 di Durian Tunggal. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman

62 peratus graduan UTeM aliran TVET

DURIAN TUNGGAL: Sebanyak 62 peratus atau 1,700 daripada 2,748 penerima diploma dan ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-14 adalah graduan aliran berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata konvokesyen itu akan diadakan di Dewan Canselor kampus induk universiti berkenaan pada 26 dan 27 November depan.

Katanya, ia akan menyaksikan seramai 333 graduan menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda (2,111), Ijazah Sarjana (263), Ijazah Doktor Kejuruteraan (seorang) dan 37 penerima Doktor Falsafah.

Pada majlis itu juga, katanya, pihak universiti akan menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda secara ‘Anumerta’ kepada keluarga tiga graduan yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan sebelum ini.

“Pihak universiti juga menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Pengerusi dan Pengasas Xinyi Glass Holdings, Datuk Lee Yin Lee.

“Turut diadakan, Pesta Konvo bermula dari 25 hingga 27 November yang menyediakan pelbagai aktiviti, antaranya tarian kebudayaan, persembahan agensi badan beruniform, Kugiran Masdo, ceramah agama dan aktiviti air,” katanya pada sidang media di universiti itu di sini, hari ini.

Shahrin berkata, graduan UTeM dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, pengurusan teknologi serta teknokeusahawanan amat diperlukan negara.

“Majlis konvokesyen kali ini agak unik kerana kebanyakan graduan terdiri daripada mereka yang berjaya dalam bidang berteraskan Revolusi Industri 4.0.

“UTeM akan terus memainkan fungsi melahirkan graduan bersahsiah murni, berdaya saing, berkemahiran tinggi dan menjadi pembekal utama bagi pembangunan sektor perindustrian negara,” katanya.

Berita Harian X