Ahad, 21 Oktober 2018 | 6:31pm

128 terima sandang kebesaran Pusaka Gayong

KUALA LUMPUR: Seramai 128 pendukung seni silat Gayong sekitar Lembah Klang menerima sandang kebesaran Pusaka Gayong dalam satu majlis penganugerahan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Kuala Lumpur (PSSPGM).

Majlis yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) itu turut mengangkat dua tokoh penting Pusaka Gayong sebagai Ketua Waris Beradat Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berperanan sebagai pimpinan utama dua negeri itu.

Mohd Munzir Mustapha dilantik sebagai pimpinan utama Putrajaya manakala Zahari Ahmad menerima sandang Ketua Waris Beradat Kuala Lumpur.

Setiausaha Agong PSSPGM, Mohd Samsunputra Abdul Majid, berkata PSSPGM sudah bertapak di Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu dan ini adalah julung kali seorang pimpinan diangkat menerima sandang tertinggi itu.

“Zahari yang selama ini berperanan mengepalai beberapa gelanggang di Kuala Lumpur termasuk Ibu Gelanggang Pusaka Gayong di bawah naungan Panji Tok Malim adalah seorang yang paling berpengalaman kerana turut terbabit secara langsung dalam PESAKA Kuala Lumpur.

“Munzir pula adalah penggerak penting PSSPGM di Lembah Kelang yang selama ini banyak menaikkan nama pertubuhan dalam penganjuran Pusaka Ultimate Fight (PUF) yang sudah memasuki edisi ke-11.

“Justeru, pemilihan dua individu ini penting dalam mengangkat martabat PSSPGM di zon tengah yang turut membabitkan Selangor serta Negeri Sembilan dengan anggaran keahlian melebihi 3,000 orang,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Dalam majlis yang sama, beberapa individu dianugerahkan sandang Waris Beradat, Ketua Panglima Hitam, Panglima Hitam, Ketua Beradat, Khalifah Muda, Serikandi Muda serta beberapa sandang kehormat seperti Rajawali Tunggak Pusaka.

Majlis yang disempurnakan Pendita Utama PSSPGM, Dr Raja Abdul Majid Raja Md Isa dihadiri lebih 500 ahli dari seluruh negara itu turut memperagakan persembahan khas dari juara dunia seni tempur Mohamad Wahab dan Khoharullah Abdul Majid.

Selepas Kuala Lumpur, PSSPGM akan mengadakan majlis yang sama di Beranang, Selangor pada 27 Oktober ini dengan satu anugerah sandang Imam Khalifah Negeri akan dianugerahkan kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus.

Samsunputra berkata, lebih banyak program peringkat kebangsaan akan dianjurkan menjelang akhir tahun ini dengan program kursus mata pelajaran bakal dilaksanakan pada hujung Disember di Gelanggang Pusat, Gurun Kedah.

DATUK Dr Raja Abdul Majid Raja Md Isa menyempurnakan majlis penganugerahan sandang PSSPGM di Kuala Lumpur.
DATUK Dr Raja Abdul Majid Raja Md Isa menyempurnakan majlis penganugerahan sandang PSSPGM di Kuala Lumpur.
SAMSUNPUTRA bersama Munzir yang dilantik sebagai Ketua Waris Beradat Putrajaya.
SAMSUNPUTRA bersama Munzir yang dilantik sebagai Ketua Waris Beradat Putrajaya.
Berita Harian X