Khamis, 18 Oktober 2018 | 12:47pm
ANGGOTA penguatkuasa DBKL menyita barangan jualan lapan lelaki warga Bangladesh yang menggunakan lesen milik individu tempatan dalam Operasi Tegas Siri 34 dilakukan di Lorong Haji Taib, Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.
ANTARA lelaki warga Bangladesh yang diperiksa dalam operasi itu.

8 warga Bangladesh ditahan DBKL

KUALA LUMPUR: Tindakan lapan lelaki warga Bangladesh berniaga pelbagai barangan menggunakan lesen milik individu tempatan mengundang padah apabila semua barang jualan mereka dirampas dalam serbuan di Lorong Haji Taib, Chow Kit, di sini, semalam.

Dalam Operasi Tegas Siri 34 itu yang dijalankan 67 pegawai dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai lapan lelaki warga Bangladesh yang berniaga di kawasan berkenaan diperiksa.

Pengarah Penguat Kuasa DBKL, Azman Mahmood, berkata operasi itu yang bermula jam 8 malam tadi hingga 1 pagi tadi itu bertujuan bagi menjalankan pemeriksaan terhadap peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lapan peniaga warga Bangladesh terbabit mendapati mereka berniaga menggunakan lesen milik individu tempatan.

“Semua barangan jualan mereka seperti pakaian, khemah dan lain-lain disita pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, semua barang yang disita dibawa ke stor sitaan milik DBKL untuk tindakan lanjut.

“Semua lapan lelaki warga Bangladesh itu didapati melakukan kesalahan menggunakan lesen untuk berniaga milik individu tempatan.

“Mereka dikenakan notis Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) UUK Perlesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016,” katanya.

Berita Harian X