Ahad, 14 Oktober 2018 | 3:07pm
ANTARA tapak peniagaan makanan tidak halal yang ditutup pada Ekspo Tastefully Food & Beverage, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, semalam. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
ANTARA tapak peniagaan makanan tidak halal yang ditutup pada Ekspo Tastefully Food & Beverage, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, semalam. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER

Penilaian semula peraturan jual produk tidak halal

JASIN: Kerajaan negeri akan menilai semula peraturan sedia ada membabitkan penganjuran ekspo, khususnya produk makanan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), bagi mengelakkan timbul kebimbangan dalam kalangan pengunjung.

Cadangan itu dibuat susulan penjualan makanan berasaskan daging babi secara terbuka di festival makanan yang berlangsung di MITC, kelmarin.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, penjualan berkaitan produk makanan tidak halal mempunyai prosedur dan peraturan penjualannya yang sedia ada untuk diikuti penganjur sesebuah program.

“Bagaimanapun, kita akan menilai kembali peraturan sedia ada selain menilai semula aspek pemantauan.

“Segala kemudahan kita (MITC) sediakan dan jika peraturan diikuti manakala tempat penjualan khas disediakan, maka tidak akan timbul kebimbangan dalam kalangan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulangan Tahun Ketiga Parti Amanah Negara (AMANAH) Peringkat Jasin, di RTC Sungai Rambai di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Melaka berkata, insiden itu sepatutnya dapat diselesaikan pada peringkat awal antara penganjur dan MITC.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri juga perlu membuka ruang kepada penganjur untuk menjual produk (makanan tidak halal) mereka di negeri ini,” katanya.

NSTP semalam melaporkan, tujuh gerai jualan menjual makanan berasaskan daging babi di Festival ‘Tastefully Food and Beverage Expo’ di MITC.

Berita Harian X