Rabu, 10 Oktober 2018 | 5:48pm
Penerima Anugerah Biasiswa Masa Depan Forest City-UTM bergambar bersama Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar, Ahli Lembaga Pengarah Forest City, She Zhen Wei dan Pengarah Strategi Country Garden Pacificview (CGPV) Sdn Bhd, Ng Zhu Hann. - Foto Junita Mat Rasid

10 pelajar UTM terima Anugerah Biasiswa Masa Depan

JOHOR BAHRU: Seramai 10 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi kumpulan pertama menerima Anugerah Biasiswa Masa Depan Forest City-UTM membabitkan biasiswa berjumlah RM370,000 sepanjang empat tahun pengajian.

Program itu adalah inisiatif pemaju Forest City, Country Garden Pacificview (CGPV) Sdn Bhd sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu meningkatkan pendidikan rakyat.

Menerusi program itu, setiap pelajar yang terpilih menerima biasiswa RM10,000 setahun sehingga tamat tempoh pengajian.

Pengarah Strategi CGPV, Ng Zhu Hann, berkata kerjasama itu adalah hasil daripada perjanjian perkongsian strategik selama tiga tahun yang ditandatangani antara pihaknya dengan UTM pada November 2016.

“Ia selaras dengan strategi kami yang mana inisiatif pendidikan ini akan membantu meningkatkan modal insan untuk dimanfaatkan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Malah, keutamaan kami adalah membantu pelajar dalam kalangan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian anugerah biasiswa itu di Forest City, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar dan Ahli Lembaga Pengarah Forest City, She Zhen Wei.

Penerima biasiswa terbabit ialah Anisya Anis Sariff dan Nazita Yunos dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, selain Zachary Chong Jen Lum, Carey Tai Khay Shuen serta Syuib Hassan dari Fakulti Bina Alam dan Ukur.

Penerima lain adalah dari Fakulti Kejuruteraan iaitu Yap Yi Jian, Mohamad Fikri Hazim Mohd Johari, Ooi Ao Song, Ahmad Azizi Ahmad Razi dan Chin Quan Hau.

Zhu Han berkata, anugerah biasiswa itu bertujuan memperkasakan serta mengembangkan bakat dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi masyarakat Malaysia.

“Kami akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa graduan tempatan mempunyai kelebihan. Mereka memerlukan bantuan kewangan dan peluang ini harus digunakan oleh korporat seperti kami bagi membantu mereka.

“Bagi pelan masa depan, kami ingin memberi tumpuan kepada usaha menyumbang kepada agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET),” katanya.

Sementara itu, Wahid Omar berterima kasih kepada CGPV dan mengalu-alukan kerjasama seumpama itu pada masa depan.

Setakat ini, katanya, seramai 65 lepasan graduan UTM bekerja di Forest City dengan kebanyakannya lepasan bidang kejuruteraan.

Berita Harian X