Sabtu, 6 Oktober 2018 | 11:03am
SURAT diutuskan lima banduan di Penjara Bentong kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang dimuat naik menerusi akaun Twitter baginda, @cheminahsayang. - Foto ihsan Twitter Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Mainunah Iskandariah Sultan Iskandar

'Tuanku benar-benar berjiwa rakyat'

KUANTAN: “Tuanku seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat kerana sudi mencemar duli bertemu dan memberi tunjuk ajar kepada patik semua walaupun patik semua adalah banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara.

“Jasa dan budi baik Tuanku akan sentiasa patik semua kenang selagi nyawa dikandung badan.”

Demikian kandungan surat bersama kain keruping diutuskan lima banduan di Penjara Bentong kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang dimuat naik menerusi akaun Twitter baginda, @cheminahsayang, kira-kira tengah malam tadi.

Lima banduan terbabit mengikuti Bengkel Tenun Pahang Diraja, Penjara Bentong, Pahang, dan dikenali sebagai Atan, Gafar, Black, Jimi dan Panjang yang turut menurunkan cap jari mereka dalam surat berkenaan.

Menerusi surat itu, mereka menyatakan penghargaan kerana diberi peluang bertemu dan berbicara dengan Tunku Azizah Maimunah secara berdepan yang sebelum ini hanya dapat dilihat dalam media massa, serta atas pelbagai sumbangan baginda kepada mereka.

“Diberikan peluang untuk belajar teknik menghasilkan kain bermula daripada proses mewarna hingga menenun kain sehingga menghasilkan produk bawal label Tenun Pahang Diraja.

“Menerima sumbangan makanan yang tidak pernah patik semua mimpikan dapat menikmatinya di dalam penjara.

“Memberikan peluang pekerjaan walaupun patik semua bekas banduan, membuatkan diri ini rasa dipercayai dan dihargai,” kata mereka.

Sementara itu melalui akaun Twitter sama, Tunku Azizah Maimunah yang terkenal dengan sikap mesra rakyat, turut melahirkan rasa sebak menerima surat dan kain keruping berkenaan.

“Hari ini (semalam), saya menerima anugerah khas dari Jabatan Penjara Malaysia, terima kain keruping dari Penjara Bentong dan juga sepucuk surat daripada banduan-banduan yang menenun kain itu... saya menangis, sebak,” titah baginda.

Tunku Azizah Maimunah memang diketahui umum sering memperjuangkan seni kain Tenun Pahang Diraja yang berusia lebih 300 tahun, dan mengasaskan latihan dalam penjara untuk banduan mengeluarkan produk bawah label Tenun Pahang Diraja.

Pada Ogos tahun lalu, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, mengenakan kain Tenun Pahang Diraja pada majlis perkahwinannya dihasilkan banduan di Penjara Penor dan dihadiahkan oleh Tunku Azizah Maimunah yang juga ibu saudaranya.

Berita Harian X