Selasa, 2 Oktober 2018 | 4:30pm
SEBANYAK enam ekor gajah betina berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor dalam Operasi Tangkap dan Pindah Gajah di Ladang Boustad (Division Nanyo) Teluk Sengat. - Foto ihsan PERHILITAN
SEBANYAK enam ekor gajah betina berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor dalam Operasi Tangkap dan Pindah Gajah di Ladang Boustad (Division Nanyo) Teluk Sengat. - Foto ihsan PERHILITAN

`Rambai', 'Abot' bantu pindah gajah liar ke hutan

KOTA TINGGI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menangkap enam ekor gajah betina dalam Operasi Tangkap dan Pindah Gajah di Ladang Bousted (Division Nanyo) Teluk Sengat, dekat sini.

Operasi itu dijalankan mulai 14 hingga 23 September lalu susulan aduan pencerobohan sekumpulan gajah liar ke kawasan kebun dan penempatan penduduk.

Pengarah PERHILITAN Johor, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata lima hingga lapan ekor gajah lagi dihalau semula ke kawasan Hutan Simpan Panti, dekat sini.

Katanya, operasi itu dilakukan selepas sebahagian 30 kumpulan gajah liar dari Hutan Simpan Panti didapati berkeliaran memasuki kawasan ladang Bousted dan penempatan penduduk berhampiran.

“Hasil aduan awam mendapati haiwan itu merosakkan tanaman kelapa sawit, selain pokok buah-buahan yang diusahakan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jamalun berkata, operasi itu turut mendapat bantuan penduduk setempat, pemilik ladang dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

“Kami turut mendapatkan bantuan dua ekor gajah denak dikenali ‘Rambai’ dan ‘Abot’ dari pusat konservasi bagi membantu proses translokasi enam gajah betina itu.

“Semua gajah liar itu ditranslokasi ke habitat baharu yang lebih sesuai,” katanya sambil menambah ketika ini Pejabat Perhilitan Daerah termasuk di Penawar menyediakan khidmat lebih kepada kawalan hidupan liar.

Berita Harian X