Sabtu, 29 September 2018 | 9:34pm
MIMI memeriksa senarai pendaftaran masuk tetamu di Apple Hotel Shah Alam.
MIMI memeriksa senarai pendaftaran masuk tetamu di Apple Hotel Shah Alam.

JAIS galakkan hotel patuh syariah

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menggalakkan hotel di negeri ini mengenakan amalan patuh syariah selaras tuntutan agama Islam.

Ia termasuk memohon persijilan halal, terutama dalam aspek penyediaan makanan di restoran dan dapur hotel.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali, berkata sebagai sebahagian amalan patuh syariah, JAIS sentiasa menggalakkan hotel di negeri ini, termasuk hotel bajet memohon sijil halal.

"Memang sepatutnya setiap hotel ada sijil halal kerana ia bukan sahaja menjamin kebersihan makanan yang dihidang tetapi ia boleh dijadikan kaedah pemasaran hotel berkenaan.

"Sebelum mendapat sijil halal, kami akan meneliti ruang dapur hotel atau restoran, bahan kering dan basah yang digunakan bagi memastikan ia mematuhi syarat yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi NSTP di sini.

Wan Najmiah berkata, pengurusan hotel yang ingin memohon sijil halal perlu mempunyai Eksekutif Halal, selain pekerja yang terbabit dalam penyediaan makanan dan minuman dilatih mengenai konsep halal.

Sementara itu, memastikan pasangan yang menginap adalah pasangan berkahwin, antara amalan patuh syariah yang diberikan penekanan oleh pengurusan sebuah hotel di sini.

SYARAT patuh syariah yang dikenakan Apple Hotel Shah Alam ke atas tetamu yang mendaftar masuk.
SYARAT patuh syariah yang dikenakan Apple Hotel Shah Alam ke atas tetamu yang mendaftar masuk.

Pengurus Apple Hotel Shah Alam, Mimi Syaqirah Rosli, berkata untuk itu, pihaknya akan meminta kad kahwin di kaunter masuk jika ragu dengan status pasangan yang datang untuk menginap.

Katanya, ini adalah langkah awal yang dilakukan bagi memastikan perkara yang menyalahi agama tidak berlaku dalam hotel.

“Pihak pengurusan sentiasa memastikan tidak wujud operasi luaran seperti keluar masuk tetamu yang tidak berdaftar bagi mengelak orang luar seperti wanita bebas memasuki hotel.

“Kakitangan kami dilatih untuk memantau perjalanan operasi hotel sepanjang masa. Kami juga menyediakan surau berasingan untuk lelaki dan perempuan dengan arah kiblat disahkan oleh Jabatan Mufti Selangor,” katanya.

Mimi berkata, bagi membantu peniaga menjalankan perniagaan halal berasaskan syariah, pihak hotel ada menyediakan ruang yang selesa untuk disewa pada kadar amat berpatutan.

Katanya, hotelnya menyediakan ruang untuk disewa kepada peniaga luar bagi membuka perniagaan seperti kafe, bakeri, kedai runcit atau agensi pelancongan dan mereka yang berminat boleh menghubungi Apple Hotel Shah Alam di talian 03-55240737.

Berita Harian X