Sabtu, 29 September 2018 | 7:08pm
AHLI Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani (dua dari kanan) hadir melawat khemah pameran KWSP sambil diiringgi Johan Ishak (tiga dari kanan) di Karnival Jom Heboh 2018 di Pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. - Foto Mikail Ong
AHLI Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani (dua dari kanan) hadir melawat khemah pameran KWSP sambil diiringgi Johan Ishak (tiga dari kanan) di Karnival Jom Heboh 2018 di Pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. - Foto Mikail Ong

Khemah KWSP tumpuan pengunjung Karnival Jom Heboh

BATU KAWAN: Khemah pameran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi tumpuan pengunjung pada Karnival Jom Heboh anjuran Media Prima Berhad (MPB) yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, di sini, hari ini.

Pengunjung terdiri daripada golongan suri rumah tidak melepaskan peluang untuk menyimpan minimum RM5 di dalam akaun KWSP masing-masing melalui Program Sukarela Insentif (SURI).

Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani, berkata rakyat memperoleh pelbagai kemudahan melalui agensi yang membuat pameran hari ini selain barangan promosi ditawarkan.

Beliau berkata, mereka yang hadir juga dapat maklumat mengenai program SURI yang diumumkan kerajaan bagi membantu suri rumah meningkatkan sekuriti pendapatan mereka.

“Di khemah pameran KWSP, suri rumah dapat mendaftar dengan agensi itu bagi mendapat faedah program SURI. Ia adalah sesuatu yang positif dan membantu rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Johan Ishak, berkata Jom Heboh kali ke-15 itu buat pertama kalinya mendapat penyertaan daripada agensi seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan KWSP.

Beliau berkata, penyertaan pertama kali itu bagi memberi galakan kepada orang ramai menyimpan selain menyertai program SURI yang diumumkan kerajaan.

“Batu Kawan menjadi lokasi ketiga karnival Jom Heboh pada tahun ini. Karnival ini sentiasa mendapat perhatian di seluruh negara,” katanya.

Johan berkata, jika pihaknya mendapat tajaan mencukupi, penganjuran karnival itu akan diperluaskan sehingga ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Beliau berkata, sambutan dan kejayaan program itu adalah petunjuk positif dan momentum terbaik kepada MPB, terutama bagi rangkaian televisyennya.

“Orang ramai dapat bertemu dan beramah mesra dengan pelakon dan artis selain melawat khemah yang disediakan mengikut slot program disiarkan di saluran MPB.

“Antara khemah pameran yang disediakan termasuk Bananana! Land, Drama Sangat, Kita Juara dan Raudhah,” katanya.

Jom Heboh Batu Kawan yang berlangsung bermula semalam sehingga hari ini adalah usaha bagi membolehkan rangkaian televisyen MPB mendekati penonton mereka.

Selain pameran daripada agensi kerajaan dan jualan promosi, orang ramai juga berpeluang bertemu dengan barisan personaliti TV3 selain beriadah bersama keluarga pada karnival yang bermula pada jam 10 pagi sehingga 10 malam itu.

Berita Harian X