Rabu, 26 September 2018 | 12:48pm
KADI Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
KADI Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tiga jurunikah diberhenti, dua digantung sejak 2012

KUANTAN: Salah guna tauliah serta melakukan akad nikah tanpa kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) menyebabkan tiga jurunikah ditamatkan perkhidmatan mereka sejak 2012.

Kadi Kuantan, Abdul Zaki Md Zain berkata, pentauliahan semua jurunikah itu oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebelum ini sudah ditarik dan perkara itu dilakukan baginda sendiri.

“Atas nasihat dan laporan yang diberi sendiri PAID Kuantan, baginda berkenan menarik pentauliahan mereka (jurunikah) yang didapati melanggar syarat ditetapkan.

“Kebiasaan pentauliahan mereka ditarik disebab menyalahgunakan pentauliahan selain melakukan urusan penikahan tanpa kebenaran pejabat agama,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Abdul Zaki berkata, dalam tempoh sama juga PAID Kuantan turut menggantung dua jurunikah atas sebab berkelakuan tidak sepatutnya seperti panas baran serta dalam keadaan uzur.

Beliau turut mendedahkan, ada jurunikah di daerah ini yang menjalankan tugas dalam keadaan terlantar sakit dan tidak berkemampuan sebelum dia diadukan ke PAID Kuantan.

“Apabila kita mendapat maklumat mengenai perkara itu, kita segera jalankan siasatan dan sebaik benar dakwaan yang dibuat pengantin dan keluarganya kita ambil tindakan dengan menggantung pentauliahan jurunikah berkenaan.

“Kita tidak mahu jurunikah mempunyai sebarang masalah yang boleh menjejaskan proses akad nikad kerana proses ini amat penting bagi menentukan sahnya perkahwinan pasangan itu,” katanya.

Beliau turut meminta pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga supaya segera tampil ke pejabat agama jika berasakan jurunikah mereka sudah lagi tidak berkemampuan.

Katanya, perkara itu amat penting bagi membolehkan mereka dirujuk kepada jurunikah yang lain yang diyakini mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Berita Harian X