Isnin, 24 September 2018 | 5:53pm

Dua pelajar ponteng sekolah positif dadah

KUANTAN: Seawal usia 14 dan 15 tahun sepatutnya mereka berada di bangku sekolah dan menumpukan perhatian pada pelajaran.

Namun, dua remaja Tingkatan Dua dan Tiga dikesan terbabit dengan gejala penagihan dadah selepas ditahan pada operasi Cegah Ponteng Peringkat Pahang 2018 yang dijalankan di sekitar daerah ini, hari ini.

Mereka yang ditahan di sebuah pusat hiburan keluarga di Sungai Isap, di sini, mengakui sudah beberapa kali ponteng sekolah dan kegiatan itu tidak diketahui keluarga.

Pelajar Tingkatan Tiga itu mendakwa tidak minat belajar menyebabkannya sering ponteng sekolah dan lebih banyak menghabiskan masa dengan kawan sebelum terjebak dengan gejala penagihan dadah.

“Saya baharu saja ambil (dadah), untuk cuba sahaja... saya tak minat belajar dan tak minat hendak ke sekolah,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, di sini.

Sementara itu, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri, Mohd Raauf Jali, berkata, dua pelajar terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamin dan opiat selepas saringan air kencing dilakukan.

Beliau berkata, mereka akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuantan untuk tindakan lanjut selain dimaklumkan kepada ibu bapa mereka.

Sebahagian pelajar yang ditahan dalam Operasi Cegah Ponteng Sekolah peringkat negeri didapati positif dadah. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Sebahagian pelajar yang ditahan dalam Operasi Cegah Ponteng Sekolah peringkat negeri didapati positif dadah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

“Ops Cegah Ponteng yang kita lakukan hari ini berjaya membawa balik 31 pelajar termasuk dua murid sekolah kebangsaan ke PPD Kuantan, mereka semua berusia sembilan hingga 18 tahun.

“Kebanyakan mereka ditahan di kafe siber, pusat snuker, pusat beli belah dan Pantai Teluk Cempedak,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan bersama anggota polis, AADK, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Yayasan Pahang itu dipecahkan kepada beberapa kawasan tumpuan seperti di kompleks beli belah sekitar daerah ini, Pantai Teluk Cempedak, Jalan Beserah, Sungai Isap dan Taman Gelora, di sini.

Katanya, semua mereka dibawa ke PPD Kuantan untuk menjalani sesi kaunseling sebelum ibu bapa mereka diminta hadir bagi mengambil anak masing-masing.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau serta mengambil tahu pergerakan anak mereka supaya tidak terbabit dengan gejala tidak sihat.

Tamat

Berita Harian X