Isnin, 24 September 2018 | 10:54am
Foto hiasan

Kunjungi pusara ibu mohon restu

ALOR SETAR: Ibu bapa antara paling berdebar setiap kali anak-anak menduduki peperiksaan, namun lain pula bagi seorang anak yatim piatu yang kehilangan kedua-dua mereka sejak tiga tahun lalu.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Mas, Mohd Danish Amani Anuar, berkata dia hanya mampu menziarahi kubur ibunya, Junaida Ismail, Jumaat lalu, bagi mendapatkan restu.

Dia yang menumpang kasih tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Bukit Teriak, Telaga Mas, berkata persediaan rapi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah dilakukan termasuk mengulangkaji pelajaran tiga jam sehari.

“Saya kini tinggal bersama keluarga ibu dan bapa saudara yang menjaga saya seperti anak mereka sendiri, sebelum meninggal ibu selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Jadi setiap hari selepas solat, saya tidak pernah lupa berdoa supaya Allah permudahkan saya belajar...Alhamdulillah saya dapat memberi tumpuan yang baik di dalam kelas dan sentiasa menghormati guru,” katanya yang ditemui semalam.

Danish berkata, setiap minggu menjadi kelazimannya menziarahi pusara ibunya, malah dia baru saja pergi ‘berjumpa’ ibunya untuk berdoa dan memberitahu bahawa dia akan menduduki UPSR.

Katanya, walaupun ditakdirkan hidup sebagai anak yatim piatu, namun dengan dorongan ibu dan bapa saudaranya, dia sentiasa bersemangat untuk mengejar cita-citanya sebagai doktor.

Sementara itu, rakannya, Muhammad Affa Ezzany Mohd Faizal turut bersemangat untuk menduduki UPSR walaupun datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Saya anak sulung daripada tiga adik beradik, saya sudah membuat persediaan mengulangkaji pelajaran di sebelah malam, guru turut membantu membuat kelas tuisyen secara percuma

“Ibu adalah ibu tunggal, dia membesarkan kami adik beradik dengan hasil menjual putu piring di pasar dengan pendapatan tidak seberapa.

Setiap hari saya melihat ibu bekerja, jadi saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga,” katanya yang tinggal di Kampung Belukar, Telaga Mas.

Mohd Danish dan Muhammad Affa merupakan antara 41 murid SK Telaga Mas yang menduduki UPSR bermula hari ini sehingga Khamis.

Sementara itu, seramai 32,316 murid Tahun Enam di Kedah mula menduduki UPSR di 568 pusat peperiksaan seluruh negeri mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said, berkata daripada jumlah itu seramai 26,468 adalah murid sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina (3,433), sekolah jenis kebangsaan Tamil (1,295) dan calon sekolah swasta (1,120).

Berita Harian X