Khamis, 20 September 2018 | 10:53am
Ketibaan Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. - Foto BERNAMA

Istiadat letak kerja sempena pertabalan Sultan Kedah bermula

ALOR SETAR: Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang bakal berlangsung pada 22 Okt depan, hari ini dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja.

Istiadat Letak Kerja yang diadakan di Balai Besar di sini berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah sebagai penzahiran tanda perkenan Sultan Kedah untuk memulakan Istiadat Pertabalan Baginda.

Sebelum itu, lagu "Allah Selamat Sultan" berkumandang selepas keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff ke Balai Besar.

Turut berangkat hadir menyaksikan istiadat ini adalah Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan isteri Che Puan Muda Zaheeda.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri yang lain. - BERNAMA

Berita Harian X