Isnin, 17 September 2018 | 10:03pm
BANGKAI seekor anak ikan lumba-lumba jantan seberat 35 kilogram spesis Neophocaena Phocaenoides ditemui terdampar di pantai Tanah Merah Jaya. - Foto Ihsan Pembaca

Bangkai anak ikan lumba-lumba terdampar

MELAKA: Bangkai seekor anak ikan lumba-lumba jantan seberat 35 kilogram ditemui terdampar di pantai Tanah Merah Jaya, Pantai Puteri di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu disedari pemancing selepas bangkai ikan lumba-lumba spesis Neophocaena Phocaenoides itu dipukul ombak ke pantai.

Penduduk, Azmi Leman, 50, berkata penemuan bangkai mamalia berkenaan bukan yang pertama di kawasan itu dan pernah beberapa kali terdampar, namun dalam tempoh jangka masa yang lama.

“Sebaik melihat objek hitam, pemancing bergegas ke arahnya dan terkejut apabila mendapati ia adalah bangkai anak ikan lumba-lumba.


PENDUDUK mengangkat bangkai seekor anak ikan lumba-lumba jantan seberat 35 kilogram spesis Neophocaena Phocaenoides yang ditemui terdampar di pantai Tanah Merah Jaya dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang selepas bangkai ikan lumba-lumba berkenaan dipukul ombak ke pantai dekat Pantai Puteri. - Foto Ihsan Pembaca

“Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Doreen Wee Siew Leen,

berkata mamalia itu adalah daripada spesies terancam dan sememangnya terdapat di perairan negara.

“Ia dikategorikan sebagai masih kecil kerana ukurannya hanya 1.4 meter dan pemeriksaan fizikal dipercayai ikan lumba-lumba itu mati akibat tekanan (stress) serta kurang zat.

“Bangkai ikan ini akan dibekukan sebelum dihantar dan diawet di Pusat Penyelidikan Penyu Dan Ekosistem Marin di Rantau Abang, Terengganu bagi tujuan penyelidikan,” katanya.

Berita Harian X