Ahad, 16 September 2018 | 2:48pm
PENGARAH Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin. - Foto Abdullah Yusof
PENGARAH Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin. - Foto Abdullah Yusof

JAIPk lancar portal E-Jodoh, modul poligami

IPOH: Dalam usaha menangani isu masalah perkahwinan dan perceraian, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengambil inisiatif mewujudkan portal E-Jodoh dan modul poligami.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata portal dan modul itu diwujudkan bertujuan memantapkan institusi kekeluargaan di negeri ini, akan dilancarkan secara serentak bulan depan.

“Kita akui ramai yang hendak berkahwin tetapi malu untuk tampil menyatakan hasrat dan didapati ada antara mereka yang sudah berumur serta mungkin mempunyai persaingan dengan mereka yang masih muda.

“Jadi kita mewujudkan E-Jodoh yang insya-Allah akan menepati hukum syarak bagi membantu mereka yang sukar mencari jodoh dan kita akan berusaha menemukan pasangan berkenaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Majlis Nikah Jama’ie Syarie Peringkat Negeri Perak Tahun 2018 yang dirasmikan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu di Masjid Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Mohd Yusop berkata, mereka yang mahu menyertai E-Jodoh akan ditapis terlebih dahulu dan memastikan ia terhad untuk mereka yang benar-benar serius mahu berkahwin tetapi masih tidak menemui jodoh.

“Portal ini bertujuan membantu mereka yang mahu berkahwin tetapi sukar untuk bertemu dengan jodoh (sesuai) dan ini adalah salah satu kaedah JAIPk untuk menggalakkan orang berkahwin,” katanya.

Beliau berkata, modul poligami pula diperkenalkan dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat Islam dan bukan Islam mengenai konsep sebenar perkahwinan berkenaan dan kenapa ia dibenarkan dalam Islam.

“Sesetengah orang melihat poligami ini daripada sudut yang tidak elok, Islam membenarkan tetapi perlu difahami bukan dalam semua keadaan.

“Modul ini diwujudkan bukan untuk menggalakkan (berpoligami), tetapi bagi mereka yang mahu berpoligami, kita menetapkan satu modul agar mereka memahami lebih jelas bahawa berpoligami bukan bertujuan untuk seronok-seronok,” katanya.

Katanya, modul berkenaan membabitkan persediaan untuk berpoligami, undang-undang dan pendedahan aspek poligami secara lebih jelas dan menyeluruh.

“Kita berharap menerusi penyediaan modul ini, selepas ini tiada lagi tanggapan yang tidak baik mengenai sesuatu yang dibolehkan (poligami) (mengikut hukum syarak),” katanya.

Berita Harian X