Rabu, 12 September 2018 | 9:27am
KEUNIKAN hidupan akuatik di Patricia. - Foto fail NSTP
SEKUMPULAN sotong mengerumuni terumbung karang tiruan untuk bertelur di Kompleks Terumbu Karang Patricia. - Foto ihsan PETRONAS

Projek BEACON capai sasaran

BINTULU: Inisiatif PETRONAS melaksanakan Program Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan (BEACON) di Terumbu Karang Patricia, di sini sejak empat tahun lalu mula memperlihatkan kesan positifnya apabila ia semakin pulih.

Malah, kawasan terumbu itu yang sebelum ini terjejas teruk akibat pencerobohan nelayan asing mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, selain kembali menjadi lokasi pembiakan hidupan maritim.

Selain PETRONAS melalui Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), projek berkenaan turut membabitkan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC), khusus bagi memulihara sumber biodiverisiti di kawasan terumbu itu yang terletak 12 batu nautika dari pesisir pantai Bintulu.

PETRONAS dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu membabitkan penempatan tukun tiruan di perairan berkenaan yang juga sebahagian daripada Taman Negara Similajau.

Katanya, ia tidak hanya menggalakkan pertumbuhan terumbu karang, pemasangan tukun tiruan itu juga sebahagian daripada usaha menangani masalah pencerobohan nelayan asing di lokasi berkenaan.

"Hasil pemantauan kita mendapati terumbu karang di kawasan itu memperlihatkan pertumbuhan yang baik, malah populasi hidupan marin di situ juga semakin meningkat. Ini sememangnya sasaran kita apabila Projek BEACON dilaksanakan di Terumbu Karang Patricia sebelum ini.

"Keseluruhannya, sebanyak 1,500 tukun tiruan jenis 'ReefBall' ditenggelamkan di Perairan Taman Negara Similajau, termasuk Terumbu Karang Patricia membabitkan peruntukan kira-kira RM4.6 juta," katanya.


TUKUN dibuang mengeliligi Terumbu Karang Patricia untuk melindunginya daripada ancaman pukat tunda. - Foto fail NSTP

Katanya, 30 penyelam berpengalaman terbabit dalam operasi pemantauan secara berkala di kawasan berkenaan, dengan sekurang-kurangnya tujuh spesis batu karang tumbuh subur di lokasi itu.

Antaranya Acroporidae, Pocilloporidae dan Montiporidae, sekali gus memberikan harapan harapan baharu bagi usaha pemuliharaan terumbu karang di negeri ini.

"Projek BEACON turut memberikan harapan baharu bagi usaha pemuliharaan penyu hijau untuk terus datang bertelur di Pantai Similajau sejak tujuh tahun lalu, dengan pelepasan semula 387 anak penyu berkenaan memberi peluang untuk spesis penyu terbabit mendarat semula ke kawasan pantai berkenaan untuk bertelur.

"Taman Negara Similajau adalah habitat bagi24 spesies mamalia yang mungkin sukar ditemui di tempat lain, termasuk buaya air tawar, selain ungka, langur berbelang dan kera berekor panjang,” katanya.

Berita Harian X