Jumaat, 7 September 2018 | 6:51pm
SEPASUKAN anggota Bahagian Kesihatan dan Penguat Kuasa MDKL menyerbu tiga buah premis makanan dan sebuah premis makanan di sita oleh Bahagian Kesihatan dan Penguat Kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) atas pelbagai kesalahan di sekitar Kuala Langat, Banting. - Foto Ihsan MDKL
SEPASUKAN anggota Bahagian Kesihatan dan Penguat Kuasa MDKL menyerbu tiga buah premis makanan dan sebuah premis makanan di sita oleh Bahagian Kesihatan dan Penguat Kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) atas pelbagai kesalahan di sekitar Kuala Langat, Banting. - Foto Ihsan MDKL

MDKL sita premis kotor

BANTING: Bahagian Kesihatan dan Penguat Kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita sebuah premis makanan di sini, malam tadi, selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid, berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota Bahagian Kesihatan dan Penguat Kuasa MDKL menyerbu tiga premis makanan di daerah ini.

Katanya, ketika pemeriksaan, pemilik premis makanan itu didapati menyewakan lot gerai kepada peniaga yang membayar sewa bulanan kepada pemilik berkenaan.

“Lebih mendukacitakan, pemilik premis dan peniaga ini melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut, tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan dan minyak terus masuk ke longkang.

“Kesalahan lain, peti sejuk penyimpanan makanan rosak, sisa makanan di sekitar premis dibiarkan dan peralatan makanan disimpan di tempat berhabuk,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamad Zain berkata, berikutan itu, MDKL bertindak menutup dan menyita premis mengikut Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

Katanya, pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan pembersihan dan penambahbaikan seperti diarahkan.

“Dalam operasi sama, empat kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tidak menyelenggara premis menjual makanan dalam keadaan baik dan bersih mengikut Seksyen 15, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

“Tiga kompaun pula dikenakan mengikut Seksyen 9(f), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 kerana tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu,” katanya.

Berita Harian X