Ahad, 2 September 2018 | 11:11am
Penyanyi, Datuk Ramli Sarip (kanan) bersama Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih ketika Konsert Doa Untuk Kekasih bagi mengutip dana untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di PERSADA Johor, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
Penyanyi, Datuk Ramli Sarip (kanan) bersama Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih ketika Konsert Doa Untuk Kekasih bagi mengutip dana untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di PERSADA Johor, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Konsert Amal 'Doa Buat Kekasih' kutip RM2.3 juta

JOHOR BAHRU: Konsert Amal 'Doa Buat Kekasih' anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA) malam tadi berjaya mengumpul dana berjumlah RM2.3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YKTLJ, Mohd Anizam Jamian, berkata jumlah itu diperoleh hasil penajaan meja membabitkan syarikat korporat, agensi kerajaan mahupun individu perseorangan.

"Alhamdulillah sejak dilancarkan pada 1 Ogos lalu, tiga pakej penajaan meja berjaya ditempah penderma dan sehingga malam ini saja (malam tadi) sebanyak RM2.3 juta berjaya diperoleh.

"Kami yakin, sumbangan ini akan terus meningkat memandangkan banyak syarikat sudah menunjukkan komitmen memberikan sumbangan namun belum berkesempatan memasukkan wang ke dalam akaun yayasan," katanya ditemui pada majlis itu.

Beliau berkata pakej penajaan meja Platinum berharga RM100,000, pekej Gold (RM50,000), pakej Silver (RM30,000), pekej Bronze (RM10,000) dan pakej individu berharga RM1,000.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyumbangkan dana peribadi berjumlah RM500,000 sebagai komitmen membantu 'pejuang kanser'.

"Konsert ini turut disertai seramai 100 pejuang kanser dengan setiap meja diwakili dua wakil mereka untuk duduk bersama penderma dana," katanya.

Mengulas lanjut mengenai konsert itu katanya sambutan diterima sangat menggalakkan termasuk gandingan mantap tiga artis dalam menjayakan konsert itu menghiburkan penderma.

"Kebetulan Datuk Ramli Sarip mengadakan program jelajah ke seluruh negara dan Johor antara lokasi pertama penjelajahan menerusi konsert 'Doa Buat Kekasih'.

Penyanyi, Datuk Ramli Sarip (kiri) bersama Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih ketika Konsert Doa Untuk Kekasih bagi mengutip dana untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di PERSADA Johor, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
Penyanyi, Datuk Ramli Sarip (kiri) bersama Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih ketika Konsert Doa Untuk Kekasih bagi mengutip dana untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di PERSADA Johor, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

"Kebetulan tema dibawakan itu sangat menepati program amal dilaksanakan yayasan membolehkan kami berkolaborasi," katanya.

Katanya, sejak dilancarkan pada tahun 2016, yayasan membantu 500 pejuang kanser dengan bantuan disalurkan pada tahun lalu berjumlah RM4 juta.

"Jumlah itu membabitkan bantuan perubatan dan peralatan, selain tidak termasuk bantuan pembinaan pusat rawatan kanser di tiga hospital awam termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Permai.

"Kemudahan disediakan inu bukan saja bantu lebih ramai pejuang kanser tetapi memudahkan mereka mendapatkan rawatan di negeri ini," katanya.

Terdahulu Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Program Konsert Amal ‘Doa Buat Kekasih’ di PERSADA malam tadi.

Penganjuran konsert amal anjuran YKTLJ dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Permodalan Darul Takzim, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Rasa Karya Music Sdn Bhd dan MG Network.

Ia adalah satu inisiatif mengutip dana bagi membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan kos rawatan dan perubatan.

Turut berangkat ke konsert itu, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Iskandariah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Berita Harian X