Sabtu, 1 September 2018 | 9:50pm
PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Program Konsert Amal ‘Doa Buat Kekasih’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA), malam ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Program Konsert Amal ‘Doa Buat Kekasih’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA), malam ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

`Doa Buat Kekasih' bantu pesakit kanser

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Program Konsert Amal ‘Doa Buat Kekasih’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA), malam ini.

Penganjuran konsert amal anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dengan kerjasama Rasa Karya Music Sdn Bhd dan MG Network itu adalah satu inisiatif mengutip dana bagi membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan kos rawatan dan perubatan.

Turut berangkat ke konsert itu, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Iskandariah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Berangkat sama, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kerabat diraja Johor dan Perak.

Tiga artis iaitu Ayai Illusi, Datuk Ramli Sarip dan Dayang Nurfaezah mengadakan persembahan sempena konsert berkenaan.

Lagu bertajuk `Secebis Cahaya’, lirik ciptaan Almarhum Tunku Abdul Jalil didendangkan buat pertama kali oleh Ayai Illusi pada konsert itu.

Nyanyian penuh emosi Ayai Illusi itu mendapat tepukan gemuruh kira-kira 1,000 tetamu termasuk 100 pesakit kanser yang hadir bagi memeriahkan konsert amal berkenaan.

Penganjuran konsert amal itu sebagai satu inisiatif bagi meraih dana yang akan disalurkan sepenuhnya untuk membantu ‘pejuang kanser’ yang memerlukan.

Penganjurannya bagi menyuntik keprihatinan dan kesedaran mengenai kanser kepada masyarakat selari dengan objektif penubuhan YKTLJ.

Yayasan berkenaan adalah sebuah legasi peninggalan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat pada 5 Disember 2015 akibat kanser.

Ia dilancarkan dengan rasminya oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada 6 Ogos 2016.

Objektif penubuhannya, memberi bantuan dan peruntukan penjagaan kepada pesakit kanser dan keluarga mereka, selain penubuhan platform untuk menghubungkan pesakit bersama penjaga dan penderma.

Penubuhannya juga bagi mempromosikan kemajuan penyelidikan, kesedaran awam, diagnosis dan rawatan kanser.

Sejak dilancarkan, yayasan itu bergerak aktif memberi bantuan kepada pesakit kanser bukan sahaja dalam bentuk bantuan material, perubatan dan rawatan, malah juga bantuan sokongan, motivasi dan spiritual.

Berita Harian X